1MDB mesti hantar surat rasmi kepada Kementerian Kewangan untuk lunaskan hutang


The Malaysian Insight

1MALAYSIA Development Berhad (1MDB) perlu menulis surat rasmi kepada Kementerian Kewangan jika mahu hutang mereka dibayar, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Saya perlu bayar RM143 juta menjelang akhir bulan ini. Saya terkejut apabila dokumen pertama yang akan saya tandatangani ialah untuk membayar hutang (1MDB).

“Saya tak akan tandatangan selagi saya tak lihat semua dokumen yang berkaitan,” beliau berkata di Kementerian Kewangan hari ini.

Lim berkata 1MDB harus menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan bagi menjelaskan yang mereka tidak boleh membayar hutang.

“Mereka perlu menulis sepucuk surat mengatakan mereka tidak mampu bayar.

“Sekiranya 1MDB tidak boleh bayar maka kerajaan akan dikehendaki membayar.

“Saya sudah arahkan 1MDB menulis surat.”

1MDB diberi masa sehingga 30 Mei untuk membayar faedah atas pinjaman mereka sebanyak RM143.75 juta.

“Sehingga kini kami belum menerima sebarang surat dari 1MDB kerana mengikut prosedur mereka perlu menghantar surat. Jelas sekali mereka tidak ada duit (untuk bayar hutang).

“Dengan kerjaaan baharu, barulah sekarang baru kami dapat dedahkan semua ini supaya rakyat tahu apa yang sebenarnya berlaku.

“Apa yang dikatakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memang benar - ini ialah kleptokrasi.” – 23 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen