LEMBAGA Pengarah 1MDB telah mengesahkan bahawa syarikat itu “tidak mampu” dan tidak dapat membayar hutangnya, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Bekas ketua pegawai kewangan, Azmi Tahir juga telah menulis kepada Kementerian Kewangan pada Mac 2018, menyatakan bahawa 1MDB tidak akan dapat membayar faedah pada April dan Mei 2018.
Lim juga berkata Arul Kanda ketika ditanya mengenai perkara ini berkata tidak tahu mengenai perkara itu kerana sedang “cuti bergaji” sehingga kontraknya berakhir pada Jun 2018.
“Jadi, beliau mendakwa tidak tahu menahu mengenai keadaan kewangan syarikat itu,” menurut Lim dalam satu kenyataan selepas pertemuan dengan lembaga pengarah 1MDB dan Arul Kanda hari ini.
Lim berkata beliau kemudiannya bertanya kepada Lembaga Pengarah tantang apa yang berlaku kepada “unit” pelburan bernilai AS$940 juta yang sebelum ini ditahan BSI Bank, Singapura serta dana pelaburan luar negara bernilai AS$1.56 bilion yang dipegang oleh 1MDB Global Investments Limited.
“Keseluruhannya, pelaburan ini bernilai RM9.8 bilion,yang jika ditebus akan cukup untuk membayar hutang 1MDB untuk beberapa tahun akan datang.”
Lim berkata jawapan lembaga pengarah ialah mereka telah berulang kali mempertikai nilai tersebut malah kewujudan pelaburan ini semasa mesyuarat bulanan lembaga.
“Ini kerana pengurusan 1MDB berulang kali gagal mengemukan sebarang bukti mengenai kewujudan pelaburan ini kepada lembaga pengarah sepanjang dua tahun yang lepas. Kamal Mohd Ali telah menggelar pelaburan 1MDB ini sebagai penipuan,” kata Lim.
Bagaimanapun, Lim berkata Azmi Tahir menegaskan bahawa “pelaburan” ini wujud.
“Beliau memberi alasan yang sukar dipercayai iaitu pengurus dana enggan berkomunikasi dengan 1MDB secara bertulis kerana siasatan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat,” kata Lim. – 23 Mei, 2018.
Komen