MENTERI Kewangan Lim Guan Eng mendapati Arul Kanda “benar-benar tidak jujur dan tidak boleh dipercayai” dan telah mengarahkan penasihat undang-undang Kementerian Kewangan mengkaji semula kedudukan Presiden 1MDB itu.
Lim berkata beliau telah mengarahkan kementerian melantik PwC untuk menjalankan audit kedudukan khas dan kajian semula ke atas 1MDB supaya rakyat Malaysia dapat mengetahui kedudukan kewangan sebenar dalam 1MDB.
“Kemudian barulah kami akan dapat menentukan berapakah jumlah penipuan yang dikenakan terhadap pembayar ukai. Kami akan kemukakan Laporan PwC kepada Jawatankuasa Khas 1MDB yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri sebaik saja ia lengkap,” kata Lim selepas pertemuan dengan Arul di Kementerian Kewangan hari ini.
Lim juga berkata beliau terkejut apabila Arul mendakwa semua urusan kewangan dikendalikan dengan ketat oleh ketua pegawai kewangan syarikat itu.
“Dia betul-betul tak pasti mengenai nilai ‘pelaburan’ ini atau yang paling penting, apakah ianya wujud.
“Sangat sukar dipercayai bahawa seorang pegawai pelaburan berpengalaman yang dibayar mahal boleh langsung tidak tahu sama ada pelaburan bernilai RM9.8 bilion itu benar-benar wujud.”
Menurut Lim, respons Arul itu begitu mengejutkan serta tidak masuk akal kerana menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, beliau telah menjelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan keadaan kewangan dan pelaburan 1MDB. Malah Arul berkata 1MDB bukanlah satu skandal. – 23 Mei, 2018.
Komen