Dakwaan Najib songlap RM2.6 bilion, Nazri nafi jumpa ketua SPRM


The Malaysian Insight

BEKAS menteri Umno, Nazri Aziz berkata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu Shukri Abdull tidak pernah berjumpa dengannya untuk berbincang bagi mendesak bekas Perdana Menteri Najib Razak berundur kerana dikaitkan dengan penyelewengan wang rakyat.

Kenyataan Nazri itu dikeluarkan selepas dua lagi menteri kabinet Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishamuddin Hussein juga menafikan dakwaan pertemuan dengan Shukri.

“Shukri Abdull tidak pernah berjumpa dengan saya, tidak ada. Saya rasa menteri lain mungkin ada tapi saya cuma menteri pelancongan dan kebudayaan bukannya menteri dalam negara, menteri Parlimen,” katanya ketika dihubungi Malaysia Decides.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai dakwaan Shukri yang menyiasat kes 1 Malaysia Development Berhad ketika memegang jawatan sebagai timbalan ketua pesuruhjaya operasi SPRM.

Shukri dalam sidang media semalam mendakwa telah berjumpa dengan beberapa menteri kabinet pentadbiran Najib bagi memujuk mereka memberi tekanan kepada Najib meletak jawatan susulan wujud bukti RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun peribadi Najib merupakan wang seleweng harta negara.

Menurut Shukri, daripada menteri BN yang ditemui SPRM, hanya tiga menteri yang berani bersuara iaitu Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Ahmad Husni Hanadzlah.

Malaysia Decides telah menghubungi beberapa lagi bekas menteri kabinet namun setakat ini masih belum menerima jawapan balas.

Selepas kekalahan teruk BN dalam Pilihan Raya Umum ke 14, Najib meletakan jawatannya sebagai presiden Umno dan kini jawatan itu dipangku Zahid.

Mengulas masa depan Umno, Nazri yakin bahawa parti itu boleh bangkit.

“Kita tak tahu masa depan bagaimana, Umno masih mampu sebab kekuatannya bukan daripada pemimpin tapi daripada akar umbi.

“Akar umbi Umno masih kuat, insyallah kita boleh. Dan saya masih setia dengan Umno sampai bila- bila pun.” – 23 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen