TINDAKAN tegas harus dikenakan kepada semua individu yang telah memberi kenyataan palsu kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), kata seorang bekas ahlinya.
“Kerajaan perlu memandang tegas terhadap sikap Ketua Pegawai Esekutif 1MDB Arul Kanda serta lembaga pengarah syarikat itu kerana sanggup bertindak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan kepada PAC serta tidak bercakap benar ketika prosiding PAC diadakan.
“Ia adalah satu penghinaan kepada Jawatankuasa berkenaan dan Dewan Rakyat,” kata bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Abd Aziz Sheikh Fadzir dalam satu kenyataan hari ini.
Arul telah memberi keterangan kepada PAC pada Disember 2015. Semasa Pilihan Raya Umum ke-14, Arul menjelajah ke seluruh negara, menerangkan kepada rakyat bahawa 1MDB bukanlah satu skandal.
“Malang bagi mereka (pembangkang), pelan rasionalisasi yang dibentangkan pada 2015 untuk memaksimumkan aset dari masa ke semasa untuk menjelaskan hutang telahpun berjaya di bawah pengawasan saya.
“Saya amat berbangga mengatakan bahawa 1MDB tidak gagal membayar hutangya. Kami terus mbayar hutang dan pelan rasionalisasi kembali di landasan yang betul. Syarikat itu stabil dan kami berharap untuk terus bekerja mengikut pelan tersebut,” Arul dipetik sebagai berkata dalam laporan New Straits Times bulan lepas.
Beliau berkata 1MDB amat telus di bawah pengawasannya.
Aziz berkata semasa pertemua 1MDB dan Kementerian Kewangan bersama PAC, beliau tidak percaya pelan rasionalisasi itu akan berjaya.
“Dengan pendedahan MOF (Kementerian Kewangan) itu, saya selaku bekas ahli PAC meminta Menteri Kewangan memaklumkan kepada rakyat apa yang terjadi kepada pelaburan 1MDB melalui Syarikat Brazen Sky yang berpangkalan di Hong Kong.”
Beliau berkata ketika itu, PAC dimaklumkan bahawa sejumlah lebih AS$937 juta (RM3.7 bilion) sudah dibawa pulang tetapi bakinya masih berada di Hong Kong ketika itu.
Aziz juga meminta Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan status deposit 1MDB dengan Aabar BVI bernilai AS$2.55 bilion.
Beliau berkata jumlah berkenaan disenaraikan sebagai “collateral” terhadap jaminan Aabar PJS dan sebagai wang pampasan untuk penamatan opsyen bagi pembelian syarikat pengeluar tenaga (IPP).
“Rakyat sepatutnya perlu mendapat penjelasan sebenar berhubung status wang deposit 1MDB ini dan juga pinjaman USD3.5 bilion yang dijamin oleh IPIC.”
Aziz juga berharap Lim mendedahkan kepada umum mengenai apa yang terjadi kepada pelaburan AS$1.5 bilion yang dilabur 1MDB melalui sebuah syarikat Eropah di Timur Tengah.
“PAC yang mendapat maklumat mengenai pelaburan berkenaan begitu sangsi sama ada pelaburan itu benar-benar terjadi atau tidak.”
Aziz gagal mempertahankan kerusi Kulim Bandar Baharu apabila tewas kepada Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pada PRU14. – 23 Mei, 2018.
Komen