PEGUAM Negara Apandi Ali perlu serta merta meletak jawatan jika beliau tidak mahu jadi “penghalang terbesar” kepada reformasi perundangan, kata veteran DAP Lim Kit Siang.
“Penangguhan dua minggu…sangat menyedihkan dan sudah cukup lama,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini, dan turut menambah yang Apandi perlu meletak jawatan kerana pelantikannya pada 2015 oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak berunsur politik.
Lim juga mengatakan sekiranya Apandi terus berkhidmat ia “meletakkan Pejabat Peguam Negara dalam keadaan tiada maruah apabila dia diminta berundur atau bentuk lain penghinaan secara terbuka.”
Tambahnya, keputusan pilihan raya 9 Mei membuktikan majoriti pengund bukan hanya mahu “menyingkirkan” Najib tetapi juga “undi tidak percaya” kepada Apandi selaku peguam negara.
Lim menambah semua lantikan politik, sama ada senator atau lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan atau agensi awam perlu menghantar surat meletak jawatan sekurang-kurangnya dua minggu selepas pilihan raya.
Mengulas mengenai 17,000 lantikan politik pentadbiran sebelum ini, Lim mengatakan hanya segelintir yang sudah meletak jawatan secara sukarela.
“Kesedaran sivik dan politik dalam kalangan bekas mereka yang memihak kepada penguasa dan pengaruh sebelum ini sangat rendah dan primitif sehingga kini hanya bekas Ahli Parlimen Johor Baru Shahrir Abdul Samad yang bertindak penuh hormat dengan meletak jawatan selaku pengerusi Felda selepas pilihan raya umum.
“Apa lagi yang ditunggu 17,000 lantikan politik ini?” katanya. – 23 Mei, 2018.
Komen