Terima kasih tetapi tolong henti hantar hadiah, kata Siti Hasmah


The Malaysian Insight

AHLI politik Pakatan Harapan tidak dibenarkan menerima sebarang hadiah, walaupun bunga dan makanan masih lagi dibenarkan, kata Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Isteri kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu berkata demikian ketika meluahkan rasa terima kasih kepada semua yang menghantar ucapan tahniah sejak 9 Mei lalu.

Penghargaan itu dimaklumkan anak perempuan mereka, Marina Mahathir menerusi Facebook tengahari tadi.

“Emak minta saya sampaikan pesanan kepada semua. Sejak menang pilihan raya dua minggu lepas, dia terima banyak ucapan tahniah kepadanya dan ayah daripada ramai orang. Dia sangat berterima kasih dan menghargai penghargaan, doa dan mesej semua.

“Bagaimanapun, bersama-sama ucapan tahniah ini adalah bunga, makanan dan pelbagai lagi hadiah. Dia minta saya untuk mohon kepada semua supaya tidak lagi menghantar hadiah kerana peraturan kerajaan Pakatan Harapan adalah tidak ada ahli politik dibenarkan menerima hadiah selain bunga dan makanan; dan walaupun ia nampak sederhana, ia tetap penuhi banyak ruang.”

Aktivis terkenal itu juga mengatakan ibubapanya tidak akan berpindah ke Seri Perdana tetapi akan terus tinggal di rumah mereka.

“Ia selesa tetapi tak banyak ruang untuk lebih banyak barang,” tulisnya.

Marina juga mengatakan emaknya meminta rakyat memahami situasi mereka dan tidak menghantar hadiah Hari Raya.

“Sebaliknya, dia minta semua untuk menderma kepada mana-mana badan kebajikan pilihan masing-masing. Itu akan menggembirakan dia,” tulisnya bersama sekeping gambar memaparkan ibubapanya pada hari pertama mereka di Putrajaya.

Dr Mahathir dan pentadbiran PH pimpinannya terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan partinya, Bersatu berikrar memperkenalkan reformasi dan pembersihan kerajaan persekutuan selepas pentadbiran Barisan Nasional selama 61 tahun.

Salah satu usaha itu tertumpu kepada 1Malaysia Development Berhad yang dicetuskan bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Bertahun lamanya wujud dakwaan yang wang 1MDB dirompak dan digunakan pihak dikaitkan dengan Najib untuk membeli hartanah dan aset mewah. Najib juga dituduh menerima RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Minggu lepas, polis menghabiskan masa berhari menyerbu rumah Najib di Taman Duta, pejabat dan beberapa premis lain dikaitkan dengan dirinya. Lebih 280 kotak terisi beg tangan berjenama dan 72 beg penuh wang tunai, jam tangan dan barangan kemas dirampas dari unit kondominium di Pavilion Residences yang terletak di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

Pihak berkuasa juga mendedahkan wang tunai yang dirampas dari premis berkenaan boleh melebihi RM300 juta. – 23 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen