PEMANSUHAN Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Kabinet hari ini, mampu mengurangkan birokasi dan politiking sehingga peringkat akar umbi, kata penganalisis.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, penubuhan JKKKP itu sendiri oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini adalah bersifat politik.
“JKKKP ditubuhkan BN untuk mempunyai akses ke peringkat akar umbi seperti di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan yang diperintah Pakatan Harapan (PH) dan PAS sebelum ini.
“Apabila Dr Mahathir mansuhkan JKKKP selain dapat menjimatkan wang negara, dapat mengurangkan birokrasi dan politiking sehingga peringkat akar umbi,” kata Hisommudin kepada Malaysia Decides.
Hisommudin berkata, di negeri PH dan PAS sebelum ini, sudah terdapat ketua-ketua kampung di peringkat negeri dan JKKKP merupakan cara BN menghantar bantuan kepada orang-orang mereka di peringkat bawah di negeri yang dikuasai pembangkang.
“Sekarang PH sudah memenangi banyak negeri sehingga dapat menawan negeri-negeri di selatan.
“Negeri pembangkang tinggal beberapa sahaja seperti Perlis, Pahang, Kelantan dan Terengganu di Semenanjung. Di sebelah Borneo hanya Sarawak, saya tidak fikir PH mempunyai masalah untuk akses ke peringkat akar umbi selepas ketiadaan JKKKP,” katanya.
Pada sidang media pertama selepas mesyuarat Kabinet pertamanya, Dr Mahathir berkata, JKKKP yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan menjadi terlalu berunsur politik sedangkan peranannya dapat dilaksanakan oleh pegawai kerajaan lain.
“Kita dapati gaji dibayar kepada JKKKP yang seolah-olah telah menjadi kerajaan tambahan di negeri-negeri, ia banyak berunsur politik dan bukan pentadbiran.
“Sebaliknya kita ada pegawai kerajaan untuk menjalankan tugas itu dan kita tidak akan ganti bayaran kepada JKKKP kerana kita tidak ingin amalkan politik seperti kerajaan terdahulu,” katanya.
Dr Mahathir turut mengumumkan pembubaran lima lagi agensi dan jawatankuasa kerajaan seperti Majlis Profesor Negara (MPN), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (Pemandu), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC). – 23 Mei, 2018.
Komen