Duta besar AS muncul di pejabat Daim


The Malaysian Insight

DUTA Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdir muncul di luar tempat mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham hari ini.

Beliau tiba kira-kira jam 3 petang ditemani tiga pegawai kedutaan AS Kuala Lumpur dan meluangkan masa lebih sejam di dalam pejabat menara milik Pengerusi Majlis tersebut Daim Zainuddin.

Kamala turut dilihat memegang satu dokumen di tangannya.

Bagaimanapun ketika ditanya media, Kamala menafikan tujuan beliau ke situ untuk bertemu Majlis tersebut tetapi tidak mahu bercakap mengenai tujuan beliau hadir ke tempat berkenaan.

“No (tidak). No comment. (tiada komen),” jawab beliau kepada wartawan yang menunggu di hadapan pintu masuk Menara Ilham sejak pagi.

Semalam Jabatan Kehakiman (DoJ) AS mengumumkan akan meneruskan siasatan ke atas kes melibatkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berharap akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia.

“Jabatan Kehakiman komited untuk memastikan AS dan sistem kewangannya tidak terancam oleh individu rasuah dan kleptokrat yang berusaha menyembunyikan kekayaan mereka,” kata jurucakap DoJ dalam satu kenyataan.

Kerajaan AS memfailkan aduan pada 2016 dan 2017 untuk memperoleh semua aset bernilai AS$1.7 bilion membabitkan dana yang diselewengkan dari 1MDB.

Mereka mendakwa lebih daripada AS$4.5 bilion diambil daripada 1MDB dan dilaburkan dalam beberapa syarikat serta akaun bank di AS serta beberapa negara lain.

Bekas perdana menteri Najib Razak bagaimanapun menafikan terdapat sebarang salah laku sejak skandal 1MDB mula diperkatakan pada 2015.

Najib turut dijadualkan untuk menjalani soal siasat sekali lagi di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia esok. – 23 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen