JURUCAKAP Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa kerajaan membubarkan jabatan tersebut kerana tidak mempunyai wang untuk melaksana janji 100 hari dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
Tun Faisal yang merupakan ketua bahagian komunikasi strategik Jasa berkata keputusan membubarkan jabatan itu serta beberapa agensi lain seperti diumumkan kerajaan hari ini sudahpun dijangka.
Katanya, ini kerana kerajaan tidak mampu menanggung perbelanjaan agensi berkenaan demi melaksanakjan janji PH yang tidak praktikal dan menelan belanja besar.
“Kerajaan sekarang ini tidak ada duit dan mereka akan kecilkan saiz penjawat awam.
“Mereka mahu melaksanakan manifesto yang tidak praktikal dan mengembalikan subsidi yang menelan belanja besar pada negara,” katanya kepada Malaysia Decides.
Jasa merupakan agensi yang akan dibubarkan kerajaan PH seperti diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Turut dibubarkan adalah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Majlis Profesor Negara (MPN) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu).
Bekas ahli exco Pemuda Umno itu turut mempertahankan Jasa sebagai agensi yang memberi penerangan dasar dan isu semasa di dalam negara kepada akar umbi.
Katanya lagi, langkah pembubaran Jasa akan menjejaskan kira-kira 850 kakitangan lantikan kontrak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Lantikan politik dalam Jasa hanya kira-kira 10 orang,” kata Tun Faisal lagi yang menambah jabatan itu mempunyai seramai 1,200 kakitangan di seluruh negara.
Ketua pengarahnya, Puad Zarkashi meletak jawatan pada 25 April lalu kerana tidak berpuas hati namanya tidak dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Batu Pahat dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu. – 23 Mei, 2018.
Komen