KERAJAAN mungkin akan menamatkan perkhidmatan syarikat swasta yang terlibat dalam misi pencarian pesawat MH370.
“Kami mahu tahu butiran (pencarian), keperluan, dan jika kami dapati tak perlu, kami tak akan perbaharui (kontrak),” kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jemaah menteri kerajaan Pakatan Harapan hari ini.
“Kami akan menyemak semula kontrak dan akan tamatkan jika tidak berguna,” katanya lagi.
Ocean Infinity, syarikat berpengkalan di Houstan diupah pada Januari tahun ini dengan bayaran AS$70 juta (RM278.29 juta) bagi meneruskan pencarian bangkai pesawat MH370 yang dipercayai berada di Lautan Hindi. Pencarian itu dijadualkan berakhir bulan depan.
Pesawat MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Sejak 2014, Australia, China dan Malaysia sudah membelanjakan hampir AS$200 juta untuk pencarian di Lautan Hindi. Pencarian itu dihentikan Januari lepas selepas misi sepanjang 1,046 hari.
Sementara itu, penyiasat Australia menolak cadangan kehilangan MH370 disebabkan tindakan Kapten Zaharie Ahmad Shah.
Teori yang pesawat itu “sengaja dijatuhkan” ke dalam laut dinafikan semalam oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).
ATSB mengatakan juruterbang pesawat berkemungkinan besar tidak sedarkan diri ketika pesawat terhempas.
Dilaporkan juga yang pesawat itu dipercayai sudah hilang kawalan apabila jatuh terjunam ke dalam laut. – 23 Mei, 2018.
Komen