DIALAH tukang atur paling utama Najib Razak, orang yang boleh buat apa saja dan tidak salah di mata bekas perdana menteri yang kalah itu.
Apa pun yang jadi, Abdul Azeez Abdul Rahim boleh tolong selesaikan. Daripada bantuan air bersih dan selimut untuk mangsa banjir sampailah kepada bantuan untuk Rohingya dan Palestin, Azeez akan buat.
Lebih daripada itu, bekas tukang tarik kereta yang jadi ahli politik ini boleh juga mengangkat atau menghancurkan ahli politik dan kakitangan awam hanya dengan berbisik kepada Najib.
Kata orang, dialah yang mencadangkan agar Dzulkifli Ahmad jadi ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dia malah lebih berkuasa daripada menteri dan pegawai kanan kerajaan kerana jadi penjaga pintu yang menentukan siapa boleh berjumpa dengan PM. Ini menyebabkan orang yang mengharap kepada Najib jadi benci kepadanya.
Dia selalu ada dekat dengan Najib, sedia berkhidmat dan menjalankan tugas daripada mengetuai Putera Umno untuk kerja-kerja sosial sampailah kepada memastikan ahli Umno mendaftar sebagai pengundi.
Untuk itu, ahli Parlimen Baling dua penggal ini dilantik sebagai pengerusi Tabung Haji, yang menjadikannya kata pemutus pengurusan dana simpanan jemaah itu.
Tabung itulah antara beberapa agensi yang ada kaitan dengan kerajaan yang membeli tanah di Tun Razak Exchange, sebuah unit di bawah 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Ia juga melabur dalam perladangan dan sektor minyak dan gas dengan kejayaan yang bercampur-campur.
Tetapi ahli Majlis Tertinggi Umno itu begitu dekat dengan keluarga Najib sehinggakan dia dilihat ancaman oleh pendamping yang mengelilingi bekas perdana menteri itu, terumatanya mereka yang merasakan dia menyapu banyak manfaat yang sepatutnya pergi kepada mereka.
Pertembungan itu sampai ke tahap dia dikacau oleh blogger pro Umno beberapa bulan lalu yang mempersoalkan duit dan perniagaan yang dia dapat, sementara sesetengah yang lain mengejeknya memanggil dia dengan nama Raja Tunai dari Utara.
Tidak hairanlah sekurang-kurangnya RM500,000 dan barangan kemas dilaporkan dijumpai di rumahnya di Sunway dalam serbuan polis semalam. – 23 Mei, 2018.
Komen