MELUNASKAN manifesto pilihan raya, kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang mula mengambil langkah menghadkan pentadbiran ketua menteri hanya kepada dua penggal.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengatakan janji itu kini boleh dipenuhi apabila PH menerima majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), menang 37 daripada 40 kerusi DUN pada 9 Mei lepas.
Katanya, penasihat undang-undang negeri sudah diminta untuk mengkaji bagaimana pindaan Perlembagaan Negeri- undang-undang tertinggi negeri- boleh dilakukan bagi memasukkan peruntukan terbaru itu.
“Kami sasar untuk bentangkan cadangan pada November ini dalam Dewan Undangan Negeri, apabila kami bentangkan belanjawab 2019.
“Kami akan ada masa mencukupi untuk mempertimbangkan perkara itu. Apabila cadangan itu sudah sedia, kami juga akan umumkan kepada rakyat. Kami juga akan jemput rakyat untuk beri maklum balas dan pandangan mereka,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini selepas mesyuarat exco negeri.
Menetapkan had dua penggal ketua menteri adalah janji pertama manifesto PH Pulau Pinang semasa Pilihan Raya Umum ke-14, selaras dengan janji PH peringkat nasional untuk menghadkan penggal perdana menteri kepada hanya dua penggal.
Chow juga mengatakan exco negeri juga sudah diarahkan untuk memastikan semua 68 janji PH Pulau Pinang dipenuhi dalam penggal ini.
“Janji ini akan diberikan kepada setiap exco mengikut portfolio masing-masing untuk tindakan dan pelaksanaan lanjut.
“Mereka akan beri cadangan bagaimana untuk penuhi janji itu. Ada janji akan dipenuhi lebih cepat berbanding yang lain. Janji untuk projek jangka panjang akan mengambil masa,” katanya.
Chow juga mengatakan pentadbiran negeri mungkin mengubah portfolio sedia ada supaya ia selari dengan portfolio kementerian di Putrajaya.
“Kabinet masih tak sempurna. Bila semua sudah ada, kami akan kaji dan buat perubahan diperlukan kepada portfolio negeri supaya lebih mudah exco bekerjasama dengan rakan sejawat di peringkat pusat,” katanya.
Beliau turut menambah yang jumlah exco yang dilantik tidak akan berubah, kerana Perlembagaan Negeri hanya membenarkan jumlah maksimum 10 exco.
Chow juga mengatakan kerajaan negeri sedang berusaha untuk mewujudkan mekanisme bagi menilai prestasi exco negeri, Adun dan ahli majlis kerajaan tempatan.
Beliau juga mengumumkan pelantikan Adun Komtar, Teh Lai Heng, 37, daripada DAP sebagai setiausaha politik kepada ketua menteri. – 23 Mei, 2018.
Komen