Siasatan Najib: Rampasan tunai boleh cecah lebih RM300 juta


The Malaysian Insight

SAKI-BAKI simpati terhadap Najib Razak akan lenyap apabila pihak berkuasa mengumumkan nilai wang tunai yang dirampas dari lokasi yang ada kaitan dengan bekas perdana menteri itu boleh mencecah lebih RM300 juta.

Selepas pengumuman itu, perhatian tentunya akan bertumpu pada Umno dan dana yang dikumpulkannya untuk PRU14. Seorang daripada pengumpul dana terbesar untuk Umno sudah lari meninggalkan Malaysia.

Rampasan terbesar wang tunai, beg tangan dan barangan berharga yang lain dibuat dari apartmen Bustari Yusof di Pavilion. Beliau merupakan perunding kanan politik, penasihat ekonomi dan orang yang dijadikan rujukan oleh bekas perdana menteri.

China Press melaporkan polis setakat ini sudah mengira sejumlah RM109 juta tetapi dua pertiga daripada wang tunai yang dirampas dari apartmen Bustari masih belum dikira.

Malaysia Decides difahamkan kerajaan Pakatan Harapan yang baru dipilih oleh rakyat dalam PRU14 yang baru lalu percaya rampasan itu berjumlah RM300 juta.

Ini tidak termasuk sejumlah wang tunai yang disita dari peti besi di Pejabat Perdana Menteri dan kediaman peribadi Najib.

Pentadbiran Dr Mahathir percaya masa depan Najib berakhir apabila beliau didakwa tidak lama lagi berhubung pemindahan duit SRC International sebanyak RM42 juta ke akaun peribadinya.

Dan, kalau masih ada lagi simpati yang berbaki untuk dirinya dan keluarganya setelah tumbang dalam PRU14, rasa kasihan itu akan padam apabila longgokan wang tunai itu ditunjukkan kepada media.

Selepas itu, tumpuannya nanti pada Bustari dan individu utama lain yang mengumpulkan dana untuk Umno.

Dari mana wang itu datang?

Siapa tokoh korporat yang menderma sehingga berjuta ringgit? Dari mana sumber kekayaan mereka? Adakah Umno mengisytiharkan dana ratusan juta itu?

Adakah derma itu sebagai pertimbangan untuk mendapatkan kontrak kerajaan dan lain-lain?

Apabila semua soalan ini terjawab, Umno akan lebih terpuruk pada mata rakyat, menjadikan keadaan makin sulit untuk pemimpin Umno mengangkat semula parti itu.

Hubungan Bustari dengan Najib bermula sejak 1980-an ketika dia berkawan dengan Rosmah Mansor di sebuah syarikat pembangunan hartanah.

Pada hujung 1980-an, dia dikenali sebagai pendukung ketua menteri Sarawak ketika itu, Taib Mahmud.

Tetapi Bustari tidak pernah peduli akan publisiti. Walaupun selepas jadi orang kepercayaan Najib, dia tetap duduk di belakang tabir.

Dalam kelompok Umno, dia dikenali sebagai ahli perniagaan Sarawak dan abang kepada bekas Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof.

Yang orang tidak tahu ialah hubungan Bustari dengan Najib menjadikan beliau seorang taikun. Syarikatnya mendapat manfaat besar daripada kontrak telaga minyak di Sarawak, konsesi untuk mengendalikan perkhidmatan kesihatan di Sarawak dan projek lumayan Lebuh Raya Pan Borneo.

Pihak berkuasa sudah dapat pita rakaman CCTV dari kediaman Bustari.

Mereka berharap pita rakaman itu akan menunjukkan siapa yang berkunjung ke apartmen itu beberapa hari sebelum pilihan raya dan bilakah sebenarnya bagasi dan beg tangan yang banyak itu dipindahkan ke sana. – 23 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen