AGENSI perisikan yang berselindung menggunakan nama jabatan penyelidikan semasa era pentadbiran kerajaan Barisan Nasional akan dibubar, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Kita tak perlu agensi perisikan yang merisik rakyat Malaysia,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jemaah menteri Pakatan Harapan di Putrajaya pagi tadi.
Katanya, beliau tidak mengetahui sepenuhnya aktiviti Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) kerana belum diberikan taklimat.
“Saya masih tidak diberi taklimat penuh, tetapi agensi itu tidak perlu,” tambahnya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai aktiviti MEIO yang dikatakan merupakan agensi perisikan berkuasa yang hanya menjawab kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak. Ia mempunyai 300 kakitangan, sebilangan ditempatkan di luar negara.
Malaysia Decides mendedahkan kisah organisasi ini yang bertanggungjawab memantau pengkritik kerajaan dan aktiviti pembangkang. Semuanya dilakukan bagi memastikan Najib terus berkuasa.
Perdana menteri berusia 92 tahun itu berkata agensi itu tidak wujud ketika 22 tahun beliau mentadbir sebelum ini.
“Pada zaman saya, saya tak ingat ada agensi perisikan sebegitu. Ya, ia akan dibubarkan,” kata Dr Mahathir.
Malaysia Decides hari ini juga melaporkan yang pegawai MEIO sudah membuat laporan polis mengenai satu catatan Wikipedia yang mendakwa dia merompak berbilion ringgit daripada dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad.
Dalam laporan itu, pegawai itu mengatakan dia dituduh menguruskan hampir RM3 bilion termasuklah membantu pegawai tinggi kerajaan membeli kenderaan dan hartanah mewah.
Laporan polis itu dibuat selepas polis menyerbu rumah Ketua Pengarah MEIO Hasanah Ab Hamid. Polis percaya Najib menyerahkan beberapa dokumen penting kepada Hasanah dua hari sebelum PRU14.
Hasanah sudah diarah bercuti sementara, dan dua bangunan yang menjadi pusat operasi sudah ditutup polis. – 23 Mei, 2018.
Komen