SOKONGAN dwipartisan di Parlimen diperlukan untuk meminda Perlembagaan bagi membenarkan pelaksanaan persempadanan semula yang lain sebelum pilihan raya umum akan datang dalam masa lima tahun, kata Bersih 2.0 hari ini.
Mengikut Perlembagaan, persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak boleh dilakukan selama lapan tahun lagi, namun amalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini perlu dikaji semula berikutan salah pembahagian dan gerimander, katanya.
Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari memberitahu pemberita yang sebarang persempadanan semula mesti mematuhi prinsip-prinsip dalam Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan dan sisihan maksimum sebanyak 15% dan -33% daripada purata negeri bagi saiz kawasan.
Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda supaya bilangan kerusi yang diperuntukkan bagi setiap negeri mencerminkan bilangan pengundi, katanya.
Pada PRU14, Barisan Nasional memenangi 79 kerusi Parlimen dan Pakatan Harapan 122.
Persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak diwartakan pada 2015 dan Semenanjung Malaysia pada awal tahun ini.
Bersih 2.0, dalam memorandum yang diserahkan kepada jawatankuasa pembaharuan institusi kerajaan hari ini, berkata sekurang-kurangnya, SPR mesti mengulangi proses persempadanan semula bagi Sabah kerana cadangan terakhir untuk negeri itu pada 2017 tidak diluluskan di Parlimen.
Bersih juga menyenaraikan pembaharuan jangka panjang, seperti menurunkan umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun, yang juga memerlukan sokongan dwipartisan di Parlimen untuk meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
Matlamat lain adalah untuk SPR menjawab dan melaporkan terus kepada Parlimen dan Jawatankuasa Tetap Parlimen mengenai Pilihan Raya diwujudkan untuk mengawasi suruhanjaya itu.
Pelantikan ahli-ahli SPR, katanya, perlu diadakan melalui pendengaran awam bagi calon yang disenarai pendek dan pemilihan akhir dilakukan melalui undi di Dewan Rakyat sebelum menyampaikan nama kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk perkenan dan pelantikan. – 23 Mei, 2018.
Komen