PUTRAJAYA tidak berhasrat untuk membeli semula syarikat automotif negara, Proton Holdings Berhad yang kini berada di bawah syarikat China Geely Holding dan DRB-Hicom, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata, ia terpulang kepada pemiliknya, ahli perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary memandangkan Proton bukan hak milik kerajaan.
“Proton bukannya milik kerajaan, ia milik Syed Mokhtar. Jika dia mahu beli semula atau tidak ia terpulang kepada dia.
“Kerajaan tidak berhasrat untuk membeli semula,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri kerajaan Pakatan Harapan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.
Proton diasaskan sebagai syarikat kereta negara pada 1983 merupakan antara projek nasional terawal Dr Mahathir ketika mula menjadi perdana menteri keempat dahulu.
Tahun lalu, jutawan China, Li Shufu dari Zhenjiang Geely Holding Group bersetuju untuk membeli 49.9% pegangan dalam Proton Holdings Bhd daripada konglomerat DRB-Hicom Bhd. – 23 Mei, 2018.
Komen