BEKAS Peguam Negara Abu Taib Othman berkata kenyataan Umum Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shukri Abdull berkaitan siasatan kes 1MDB tidak patut dikeluarkan.
Abu Talib yang juga pengerusi Jawatankuasa Siasatan 1MDB berkata, terdapat risiko siasatan kes 1MDB itu terjejas sekiranya seseorang yang terlibat dalam siasatan membuat kenyataan prejudis terhadap suspek atau siasatan kes sendiri.
“Pendapat peribadi saya (mengenai Shukri) ialah lebih baik tiada kenyataan umum kerana ia boleh memprejudiskan siasatan dan jejaskan prosiding mahkamah, jika ada.
“Saya tak mahu komen tapi jika tanya saya lebih baik lebihkan kerja dan kurangkan bercakap,” kata Abu Talib ketika ditemui media di lobi Menara Ilham hari ini.
Semalam, Shukri dalam sidang media yang penuh emosi di pejabat SPRM, Putrajaya mendedahkan siasatan beliau di ganggu oleh kerajaan BN tiga tahun lalu selain menerima ugutan bunuh.
Sementara itu Abu Talib turut menjelaskan tidak ada sebarang pertindihan tugas antara jawatankuasa yang diketuai beliau dan Pasukan Petugas Khas menyiasat 1MDB yang dianggotai Shukri.
Ini kerana jawatankuasa yang diketuai Abu Talib itu akan menyelaras gerak kerja dan tugas pasukan penyiasat kes tersebut.
“Pasukan Khas itu akan menghantar laporan kepada kami (jawatankuasa),” kata beliau.
Jawatankuasa yang dipengerusikan Abu Talib itu ditubuhkan minggu lalu turut di anggotai Nik Shahrizal Sulaiman, Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar, Faris Rabidin dan Cynthia Gabriel.
Sementara itu Pasukan Petugas Khas siasatan 1MDB dianggotai Shukri, bekas Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed, bekas Timbalan Ketua Cawangan Khas Polis Abdul Hamid Bador dan bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail. – 23 Mei, 2018.
Komen