KEBANYAKAN orang hanya memandang pihak media yang menunggu dengan sabar di luar rumah bekas perdana menteri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, atau menangkap foto aksi mereka.
Namun, seorang lelaki menunjukkan sokongannya terhadap kerja keras media dengan melukis gambar wartawan yang menunggu di pintu masuk di situ.
“Melihat media di bawah panas matahari atau dalam hujan, membuat liputan berita untuk orang seperti kami ... Saya tidak tahu bagaimana untuk menyokong mereka, selain melakukan apa yang saya pandai,” kata guru seni Tan Poh Chuan kepada pemberita di sudut Jalan Langgak Duta.
Lelaki berusia 45 tahun dari Kepong itu berkata beliau berada di sana untuk menyokong rakannya, yang merupakan seorang jurugambar.
“Rakan saya membuat liputan rumah Najib siang dan malam, jadi saya di sini untuk menyokongnya,” katanya.
Tan berkata beliau sudah melukis selama lebih 20 tahun, dan ini adalah kali pertama beliau melukis di jalanan.
Apabila hujan mulai turun, Tan mengalihkan kerusinya di tempat berlindung dan meneruskan lukisan dengan catan airnya, tidak terganggu oleh cuaca.
“Saya mengajar di sebuah pusat seni di Kepong,” katanya sambil melukis.
Seorang wartawan membuka payung untuk melindunginya daripada dibasahi hujan.
“Saya tidak tahu sama ada saya akan kembali lagi esok, kerana ini hanya spontan, tetapi ini satu-satunya cara saya dapat menunjukkan sokongan saya kepada pemberita di sini,” katanya. – 23 Mei, 2018.
Komen