SURUHANJAYA Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dimansuhkan dan tugasnya dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan, umum Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat Jemaah Menteri pagi ini, mesyuarat yang pertama sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran di Putrajaya.
“SPAD tidak akan dikekalkan, tetapi tugasnya akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan,” kata Dr Mahathir.
Sebelum penubuhannya pada 2010, tiada badan tunggal mengendalikan perkhidmatan pengangkutan awam darat termasuk rel dan bas di Malaysia. Semua perkhidmatan itu sebaliknya menjadi tanggungjawab pelbagai agensi mencakupi skop dan bidang tugas yang berbeza.
Susulan rungutan pelbagai pihak berkepentingan dan rungutan pengguna berhubung mutu perkhidmatan yang kurang cekap, pentadbiran Najib Razak menubuhkan suruhanjaya itu melalui akta parlimen, berkuat kuasa pada 3 Jun 2010.
Melalui Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, SPAD mengambil alih tugas antaranya Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Jabatan Keretapi serta perlesenan pengangkutan pelancongan yang sebelum itu di bawah Kementerian Pelancongan. Semua agensi itu bagaimanapun masih berperanan di Sabah dan Sarawak.
Bekas Pengerusi SPAD, Syed Hamid Albar sebelum ini membantah cadangan terutamanya daripada persatuan pemandu teksi agar suruhanjaya itu dibubarkan kerana katanya badan itu mustahak untuk transformasi pengangkutan awam di Malaysia dan ia sudah menunjukkan kejayaannya.
Pandangan Syed Hamid itu disokong oleh Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia yang malah meminta SPAD diberikan kuasa mengendalikan lesen kenderangan barang (GDL, bagi lori barang) dan lesen perkhidmatan awam (PSV, bagi teks dan bas), yang sekarang diuruskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.
Pemandu teksi bertelagah dengan SPAD sejak beberapa tahun lalu ekoran kemunculan perkhidmatan aplikasi kongsi kereta seperti Uber dan Grab yang menjejaskan pendapatan mereka. – 23 Mei, 2018.
Komen