SPRM serbu, Azeez letak jawatan Tabung Haji


The Malaysian Insight

AHLI Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim telah meletak jawatan sebagai pengerusi Tabung Haji, tindakan yang disifatkannya sebagai tanda akur kepada pentadbiran kerajaan baharu.

Surat peletakan jawatan itu telahpun diserahkan kepada pengurusan Tabung Haji sebelum ini, katanya kepada Malaysia Decides.

“Kita akurlah pada pemerintahan baharu. (Saya) tender dah (peletakan jawatan).

“Ia masih dalam proses kerana lantikan saya itu melalui menteri. Kena bagi surat balik kepada menteri agama yang dilantik (kerajaan baharu).

“Tetapi saya sudah serahkan (surat peletakan jawatan) kepada pengurusan (Tabung Haji),” katanya lagi.

Beliau turut mengesahkan serbuan pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumah dan pejabatnya semalam.

“Itu semalam, mereka datang ambil dokumen. Mereka ambil fail sikit sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, SPRM bagaimanapun tidak menjalankan operasi ke pejabatnya di Tabung Haji.

“Tidak, tidak. (Di) Tabung Haji tidak ada apa-apa,” katanya lagi. – 23 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen