NGO pemantau pilihan raya Bersih 2.0 menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggantung tugas semua tujuh pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memulakan proses reformasi badan itu.
Pemangku Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Shaari berkata kerajaan patut menjalankan langkah drastik itu segera bagi membina semula kebebasan dan integriti SPR.
Shahrul berkata, ini disebabkan pengurusan suruhanjaya itu banyak diselubungi masalah ketika mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-14.
“Seterusnya, (selepas penggantungan) satu tribunal perlu ditubuhkan untuk menyingkirkan tujuh Pesuruhjaya SPR sedia ada bagi memberi laluan kepada barisan Pesuruhjaya baru yang lebih kompeten, dipercayai dan bebas untuk mengambil alih (SPR),” kata beliau.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghantar cadangan Pelan Tindakan Reformasi Pilihanraya mereka kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi di Kuala Lumpur hari ini.
Menerusi pelan tersebut, Bersih 2.0 mencadangkan kerajaan menjalankan beberapa reformasi dalam tempoh antara 100 hari sehingga dua tahun selaras dengan manifesto Pakatan Harapan.
Selain itu, Bersih turut mengemukakan laporan NGO itu ke atas pilihan raya sebelum ini dan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat masalah dalam pilihan raya berkenaan.
Ia turut mencadangkan agar selain Pesuruhjaya Interim SPR dilantik dengan diwakili masyarakat sivil bagi memastikan reformasi badan itu berjaya sebelum Pilihanraya Negeri Sarawak pada 2021. – 23 Mei, 2018.
Komen