Susulan pendedahan Shukri, Apandi perlu letak jawatan, kata DAP


The Malaysian Insight

PEGUAM Negara Mohamad Apandi Ali yang kini sedang bercuti wajar meletak jawatan secara sukarela susulan pendedahan yang tidak ada bukti untuk menyokong dakwaannya tentang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri Najib Razak adalah derma, kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Pada 2016, Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam skandal 1Malaysia Development Berhad berkaitan berbilion ringgit yang disifatkannya sebagai derma keluarga diraja Arab Saudi.

Tetapi semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shukri Abdull mengatakan selepas siasatan dengan putera Saudi itu, tidak wujud sebarang dokumen yang boleh menyokong dakwaan wang itu adalah derma kepada Najib.

Ramkarpal mengatakan tindakan Apandi yang membersihkan Najib “sangat bertentangan dengan dakwaan umum Jabatan Negara AS yang wang itu dipindahkan daripada 1MDB”.

“Susulan perkembangan terkini, wujud kemungkinan yang Apandi akan diperlukan untuk membantu siasatan kini berkaitan RM2.6 bilion dengan memberikan keterangan kepada pihak berkuasa terutama sekali berkaitan siasatan dilakukannya sebelum ini,” kata wakil rakyat DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Selaku bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Apandi sedar yang sangat memalukan untuknya membantu siasatan sebegitu ketika masih menjadi peguam negara dan kerana itu, dia perlu meletak jawatan serta merta.”

“Saya sudah kata sebelum ini yang Apandi sudah lama berkuasa (menjadi peguam negara) dan perlu meletak jawatan. Ia perkara terhormat yang wajar dilakukan dan perlu dilakukan sekarang tanpa penangguhan lagi,” katanya lagi.

Ketika Apandi membersihkan Najib daripada semua pertuduhan, beliau mengatakan sebahagian besar “derma” itu sudah dikembalikan kepada keluarga diraja Arab Saudi.

Ramkarpal turut menambah yang Shukri perlu membuat laporan polis mengenai ugutan dan gangguan diterimanya ketika menyiasat 1MDB sebelum ini.

“Saya mendesak Shukri untuk menghentikan kecaman secara terbuka dan membuat laporan polis supaya tindakan boleh diambil.

“Siasatan sekarang dalam skandal 1MDB oleh SPRM tidak boleh dilihat dijejaskan dengan apa cara sekalipun kerana suspek juga mempunyai semua hak untuk disiasat secara adil dan tidak boleh dinafikan haknya itu,” tambahnya lagi. – 23 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen