Timbalan SB yang disingkir mula tugas sebagai pengarah baru perisikan negara


The Malaysian Insight

BEKAS orang nombor dua yang lantang bersuara dalam Cawangan Khas (SB), Abdul Hamid Bador memulakan tugas sebagai pengarah unit risikan polis itu hari ini.

Disingkir dan diletakkan dalam situasi tidak menentu kerana bersuara menentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Hamid memasuki pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi ini tanpa disedari.

Pegawai kanan perisikan berusia 60 tahun itu yang disingkirkan daripada jawatannya pada 2015, menggantikan bekas Pengarah SB Mohd Mokhtar Mohd Shariff yang bersara awal.

Hamid diminta kembali berkhidmat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata sumber yang mengesahkan pelantikan itu.

Minggu lepas, Hamid dilihat berada di pejabat Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, untuk mengadakan pertemuan tertutup dengan perdana menteri.

Beliau juga berada di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam untuk menyertai mesyuarat pertama Pasukan Petugas Khas 1MDB, tetapi keluar menerusi pintu lain bagi mengelak media. Beliau adalah anggota pasukan yang dibentuk untuk menyiasat skandal kewangan rentas benua itu.

Sumber polis mengatakan Hamid tidak berhasrat mengadakan sebarang wawancara dengan media kerana beliau percaya tidak wajar ketua unit perisikan negara bercakap secara terbuka.

“Pengarah SB tidak sepatutnya dilihat atau didengar,” kata sumber itu lagi.

SPRM dalam proses menyoal siasat bekas Perdana Menteri Najib Razak berkaitan wang RM42 juta daripada SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. SRC adalah bekas anak syarikat 1MDB.

Apabila Hamid dipindahkan keluar dari Cawangan Khas pada 2015, beliau diberikan jawatan di Jabatan Perdana Menteri dan dimaklumkan jawatan itu diwujudkan khas untuknya.

“Saya terima sekarang selepas ini saya akan tunggu selepas 17 hb perintah pertukaran saya, beri tempoh saya sampai satu bulan untuk saya lapor diri kepada PM, yang menghairankan saya apabila saya tanya pihak JPM adalah jawatan itu belum sedia lagi, masih hendak berbincang dengan pihak JPA, Ya Allah kalau dah ada jabatan itu dalam cuti ini saya sanggup pergi saya batalkan cuti saya, saya laporan diri, jawatan pun tiada lagi jadi? Kalaulah ini satu pengiktirafan mintak maaf Ketua IGP saya tidak anggap begitulah,” katanya dipetik akhbar Sinar Harian.

Kritikan Hamid terhadap 1MDB adalah berkaitan cara meragukan siasatan dilakukan apabila Peguam Negara ketika itu, Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Sebelum Hamid dipindahkan keluar, beliau diugut akan ditangkap oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Khalid Abu Bakar. Selepas diletakkan dalam situasi jawatan tidak menentu, beliau bersara dan pulang ke ladangnya di Negeri Sembilan sehinggalah Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas dan  beliau menerima panggilan daripada Jabatan Perdana Menteri untuk kembali berkhidmat. – 23 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen