Azlan Man kekal MB Perlis, kata laporan


The Malaysian Insight

AHLI  Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong, Azlan Man dijangka terus kekal sebagai menteri besar Perlis sekaligus mengakhiri kemelut pelantikan calon jawatan nombor satu di negeri itu.

Menurut laporan Utusan Malaysia yang memetik daripada sumber berkata Naib Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersetuju berhubung pelantikan Azlan itu seperti mana diperkenankan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Ia susulan pertemuan Zahid dan Naib Presiden Hishammuddin Hussein mengadap Raja Perlis semalam bagi menyelesaikan kemelut pelantikan calon menteri besar.

Sumber itu berkata upacara mengangkat sumpah akan diadakan pada bila-bila masa.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14, Barisan Nasional (BN) menang di Perlis dengan 10 kerusi, PKR (3) dan PAS (2).

Bagaimanapun sehingga kini, Perlis menjadi negeri yang masih belum angkat sumpah kerana dipercayai berdepan masalah memilih calon menteri besar.

BN Perlis mengemukakan tiga nama calon iaitu penyandang, Azlan, Adun Tambun Tulang Ismail Kassim yang juga merupakan adik bekas menteri Shahidan Kassim dan Adun Santan Azizan Sulaiman. – 23 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen