Maszlee kaji semula sekatan ke luar negara peminjam PTPTN


The Malaysian Insight

MENTERI Pelajaran Dr Maszlee Malik akan bertemu dengan pihak berkepentingan dan Jabatan Imigresen untuk mengkaji semula larangan perjalanan kepada pelajar yang gagal membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

The Star melaporkan Maszlee berkata graduan baru yang berpendapatan di bawah RM4,000 juga boleh menangguhkan pembayaran balik PTPTN mereka sehingga semua butiran terperinci dikeluarkan, yang menjadi sebahagian daripada janji 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya yakin peminjam akan membayar pinjaman apabila gaji mereka mencecah RM4,000 dan lebih ramai akan membayar pinjaman mereka pada masa akan datang,” katanya selepas penyerahan tugas dari bekas menteri pengajian tinggi Idris Jusoh di ibu pejabat kementerian di Putrajaya semalam.

Maszlee berkata beliau juga akan mengambil pandangan daripada pihak berkepentingan mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) - peperiksaan standard untuk sekolah menengah swasta Cina.
Beliau juga berkata beliau tidak menolak kemungkinan menjadikan universiti awam bebas yuran.

Beliau juga sedang merancang untuk memperkenalkan pembantu pengajar di sekolah untuk mengurangkan beban guru dan pelajar.

“Matlamat jangka panjang saya adalah untuk memastikan sistem pendidikan Malaysia berkelas dunia atau setaraf dengan negara maju,” katanya, sambil menambah beliau juga berharap dapat menanamkan nilai-nilai “kasih sayang dan gembira” serta saling menghormati dalam sektor pendidikan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu percaya penggabungan Kementerian Pengajian Tinggi dan Pendidikan “bukan masalah besar” dan berkata beliau juga sedang berusaha menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. – 23 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen