DIA hilang punca sekarang. Keangkuhannya runtuh. Kawan-kawannya boleh dibilang dengan jari. Mereka yang jadi pak turut sudah tidak nampak bayang.
Ketika tuannya yang dulu berkuasa kini hidup seperti dalam penjara, dia tahu luka dan derita yang dikenakannya kepada orang lain semasa Najib Razak di puncak akan datang semula kepadanya berkali-kali ganda.
Hanya menunggu masa.
Ketika di puncak kuasa, Habibul Rahman Kadir Shah boleh jadi begitu membinasakan.
Dengan menteri Umno, pegawai kanan kerajaan, editor kanan dan blogger upahan di hujung jarinya, dia boleh mendatangkan sengsara dan memusnahkan reputasi hanya dengan satu panggilan telefon – dan sama sekali tidak peduli kemusnahan yang berlaku pada musuhnya dan keluarga mereka.
Dialah arkitek kempen merosakkan reputasi jutawan Robert Kuok, dalang di balik tabir dan menggunakan orang seperti bekas menteri pelancongan, Nazri Aziz untuk membuat kerjanya.
Kenapa Kuok? Kerana anak Malaysia yang terkenal itu mendedahkan kebenaran yang pahit tentang tokoh Umno dan politik Melayu dalam memoirnya, dan Habibul nampak peluang untuk memainkan isu perkauman menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dialah penggerak utama Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian mata wang asing pada hujung 1980-an. Sasarannya Dr Mahathir Mohamad yang jadi masalah kepada tuannya, Najib, kerana terus menerus membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dia fikir kalau kerugian berbilion ringgit akibat spekulasi liar di Bank Negara itu boleh dipersalahkan kepada Dr Mahathir, moral perdana menteri itu akan tercalar untuk melawan Najib. RCI itu wayang semata-mata tetapi Habibul dan pengikutnya merasakan mereka betul-betul sudah berjaya.
Dialah dalang di sebalik serangan berterusan oleh blogger bukan saja untuk menghancurkan Rafidah Aziz tetapi membuat tuduhan liar tentang bekas menteri itu. Matlamatnya untuk menutup mulut pengkritik pentadbiran Najib yang lantang itu.
Habibul menyerang Daim Zainuddin, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, tokoh korporat, penggerak portal berita dan siapa saja yang berani mencabar Najib atau mereka yang menyokong Pakatan Harapan.
Ketika pengaruhnya mula berkurangan, dia menyerang mereka yang juga dalam pentadbiran Najib yang tidak menari mengikut rentak.
Orang yang diserangnya akan berdepan dengan semakan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri, dikacau oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan diburuk-burukkan dalam media arus perdana.
Dengan kuasa untuk melakukan apa saja sesuka hatinya, reputasi Habibul jadi buruk semasa Najib berkuasa. Dia menikmati kemasyhurannya. Dia cukup suka menikmati secawan kopi di Bangsar dan bercerita tentang pertualangannya.
Seolah-olahnya dia memang mabuk untuk dipuja sebagai orang kanan atau ketua operasi gelap untuk Najib.
Jauh beza berbanding zamannya semasa jadi pemimpin kecil dalam Umno ketika Najib memegang jawatan ketua pemuda parti itu. Lulusan Universiti Teknologi Mara, dia merupakan pengurus kewangan dan akaun L’Oreal Paris dan pengalaman kerjayanya menunjukkan dia pernah terlibat dalam khidmat nasihat dan menyusun semula syarikat-syarikat yang tenat.
Profil bisnesnya meningkat seiring dengan pengaruhnya sebagai hulubalang Najib. Dia dilantik sebagai pengarah Malaysia Airlines dan Petronas Energy Trading.
Habibul juga mendirikan firma rundingannya sendiri, HKS Consultants.
Perundingan apa yang diberikannya tidak pernah jelas tetapi yang jelasnya dia kaya dan mempunyai kuasa besar dalam kalangan penjawat awam kanan, menteri serta yang kaya dan berkuasa di Malaysia.
Setidak-tidaknya begitulah kedudukannya sehingga 9 Mei lalu.
Seperti banyak orang dalam kem Najib, dia tidak pernah percaya Barisan Nasional boleh dikalahkan. Persempadanan semula kawasan pilihan raya dan hubungan baik Najib dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menyebabkan berlakunya pertandingan tiga penjuru sepatutnya memenangkan parti itu dengan mudah.
Itu sebabnya Habibul tidak lari terlebih dahulu. Dia juga percaya Najib ada Pelan B kalau kalah.
Semasa di puncak kuasa, Habibul mencipta banyak musuh.
Tetapi dia tidak pernah mengalahkan mereka. Dia mungkin pernah menang banyak pertempuran tetapi mangsanya menang perang.
Kebanyakan mereka itu pula yang berkuasa sekarang. Dan kebanyakannya mereka ada ingatan yang kuat.
Dia tahu, tidak lama lagi dia akan merasai luka dan derita yang pernah dilakukannya. Cumanya dia tidak tahu apakah luka dan derita itu akan datang dalam bentuk semakan cukai, hilang pendapatan atau sesuatu yang lebih keras – barangkali masuk penjara.– 23 Mei, 2018.
Komen