KEADAAN politik nampaknya mempengaruhi pergerakan harga saham di bursa Malaysia, laporan Straits Times.
Saham syarikat yang dikaitkan dengan pemimpin dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) meningkat secara dramatik, sementara yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak menjunam selepas pilihan raya pada 9 Mei.
Ini menunjukkan kepada politik seperti biasa di Malaysia Inc, di mana para pelabur menghabiskan lebih banyak masa menganalisis fahaman politik dan bukannya buku syarikat, kata kolumnis ST Vikram Khanna.
Naungan politik dalam perniagaan di Malaysia sudah menjadi sebahagian dunia korporat dengan kedudukan kedua daripada Rusia dalam indeks kapitalisme kroni diterbitkan The Economist pada 2016. Indeks itu mendapati 13% daripada KDNK Malaysia dikawal oleh syarikat-syarikat kroni, dan hampir kesemua jutawannya mendapat manfaat daripadanya.
Rangkaian ini menjadi lebih formal beberapa tahun kebelakangan ini. Penyelidikan oleh ahli akademik Universiti Malaya Dr Terence Gomez menganggarkan Kementerian Kewangan menguasai kira-kira 68,000 syarikat dan 40% daripada aset yang didagangkan di Bursa.
Di tengah-tengah rangkaian luas ini adalah menteri kewangan, yang juga menjadi perdana menteri dalam tiga kerajaan yang lalu - Najib, Abdullah Badawi dan Dr Mahathir Mohamad (dalam tugas pertama beliau sebagai PM).
Menteri kewangan juga melantik lembaga pengarah dan jawatan eksekutif utama dalam syarikat berkaitan kerajaan ini. Ini secara tidak langsung memberikan pengaruh PM terhadap pemberian kontrak dan konsesi.
Ini menyebabkan para perdana menteri yang lalu memegang kuasa luas terhadap nasib ribuan syarikat tanpa banyak pengawasan dan pemeriksaan perundangan.
Kerajaan PH baru berjanji dalam manifesto yang perdana menteri tidak lagi memegang portfolio Kabinet lain, terutamanya kewangan.
Pemimpin PH juga mengecam kapitalisme kroni dan berjanji akan menjadi lebih telus dalam soal pemberian kontrak kerajaan. – 23 Mei, 2018.
Komen