Agensi risikan rahsia Najib semakin huru-hara


The Malaysian Insight

MALANG datang bertimpa-timpa.

Belum lagi reda berita ketua pengarahnya disoal siasat polis berhubung dokumen yang dikatakan diserahkan kepadanya oleh Najib Razak dan peranan sulit agensi itu mahu mengekalkan bekas perdana menteri itu berkuasa.

Kini, satu lagi berita muncul.

Ada satu laporan polis tentang pertembungan dalaman di Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO).

Seorang pegawai kanan agensi perisikan dan pemantauan rahsia membuat laporan polis, mendakwa satu masukan di Wikipedia yang menuduhnya menyelewengkan duit berbilion ringgit daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Lelaki berumur 35 tahun itu mendakwa kandungan masukan itu bertujuan memburukkan nama baiknya, bersama dua lagi pegawai kanan unit perisikan, yang dikenali secara rasmi sebagai Jabatan Penyelidikan.

Dalam satu salinan laporan polis yang dilihat oleh Malaysia Decides, pengadu berkata foto halaman Wikipedia itu tersebar kepada kawan-kawannya di jabatan itu serta dalam kalangan mereka yang di luar kelompok itu melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, beliau percaya masukan di Wikipedia itu dibuat oleh seorang bekas kakitangan unit berkenaan.

“Orang itu menuduh saya menguruskan dana berjumlah RM3 bilion, termasuk menolong pegawai atasan saya membeli kenderaan mewah, rumah dan tujuh istana.

“Orang itu juga berkata dua kediaman mewah itu terletak di London dan Budapest. Tidak hanya itu, dia juga memfitnah kami dengan mengatakan kami cuba mensabotaj kerajaan Pakatan Harapan,” kata pengadu dalam laporan polis itu.

Semakan Malaysia Decides mendapati halaman itu masih ada dan kali terakhir disunting dua hari lalu.

Laporan polis itu muncul beberapa hari selepas pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menyerbu kediaman ketua pengarah unit itu Hasanah Ab Hamid.

Polis percaya Najib menyerahkan kepada wanita itu dokumen sensitif dua hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14. Serbuan itu tidak berjaya dan polis yakin dokumen itu disimpan di sebuah rumah persembunyian milik unit berkenaan.

Hasanah sudah diarahkan bercuti. Dua bangunan tempat unit itu beroperasi sudah dikawal rapi.

Sumber kerajaan berkata Jabatan Penyelidikan mendapat dana yang besar daripada pentadbiran Najib untuk memantau pengkritik kerajaan di dalam dan luar negara.

Unit itu difahamkan memantau dengan dekat perkembangan politik di selatan Thailand dan selatan Filipina, dua kawasan tempat kumpulan Islam berjuang untuk autonomi.

Penyiasat memberitahu walaupun Jabatan Penyelidikan itu sudah ada lama sebelum Najib jadi perdana menteri, ia semakin banyak terlibat menjalankan operasi rahsia untuk mengekalkan beliau berkuasa.‎

Ini termasuk menggunakan khidmat perunding asing untuk membantu menyelesaikan isu 1MDB yang jadi perhatian di luar Malaysia. – 23 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen