2 hakim kanan bakal dilepaskan?


The Malaysian Insight

TERDAPAT desas-desus mengatakan dua hakim kanan Malaysia akan meninggalkan Istana Kehakiman.

Kedua-dua Ketua Hakim Negara Raus Sharif dan Hakim Besar Malaya Zulkefli Makinuddin tidak mendengar kes sejak beberapa hari ini dan beberapa kes di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang sepatutnya dipengerusikan mereka pada minggu lalu ditangguhkan.

‎Pemergian mereka memang sudah dijangka kerana kedua-dua hakim tersebut mendapat lanjutan lantikan dalam keadaan penuh kontroversi pada tahun lepas.  

Pada Julai, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan tempoh perkhidmatan Raus sebagai ketua hakim negara akan dilanjutkan selama tiga tahun, melebihi umur persaraan wajib beliau.

Turut diberikan lanjutan adalah Zulkefli.

Lanjutan lantikan tersebut dicabar sebagai tidak berperlembagaan oleh Badan Peguam, Persatuan Peguambela Sarawak dan Pakatan Harapan (PH).

Ogos tahun lalu, Dr Mahathir Mohamad memohon semakan kehakiman. Beliau mahu mahkamah memerintahkan perdana menteri ketika itu Najib Razak untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong agar membatalkan pelantikan Raus. Bagaimanapun, permohonan itu ditolak.

‎Namun nasib Raus dan Zulkefli tidak selamanya cerah berikutan kejatuhan Najib dan Barisan Nasional pada 9 Mei.

Dr Mahathir dan kerajaan PH kini dalam usaha menegakkan kedaulatan undang-undang dan memperkukuh institusi-institusi utama negara yang menjadi tunjang kepada agenda pembaharuan mereka.

Berikutan itu, adalah mustahil bagi kedua-dua hakim kanan ini untuk terus kekal berkhidmat.

Ketika dihubungi, Jumaira Marzuki, ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan, enggan mengulas sama ada penangguhan beberapa kes itu disebabkan Raus dan Zulkefli meletak jawatan.‎

“Saya tidak mempunyai kuasa mendedahkan apa-apa maklumat mengenainya,” kata Jumaira.

‎Beliau turut enggan mengulas sama ada Raus atau Zulkefli masih mendengar kes.‎

Peguam Gurdial Singh mengesahkan Mahkamah Persekutuan ditangguhkan pada minggu lepas. – 23 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen