Bermula sebagai pengikut, Chow kini bersedia memimpin Pulau Pinang


The Malaysian Insight

PADA tahun-tahun awal sebagai ahli politik, Chow Kon Yeow lebih senang menjadi seorang pengikut. Sebenarnya, itu adalah kenyataan kurang benar. Sebetulnya, beliau merasakan dirinya tidak mempunyai DNA seorang pemimpin.

“Pada usia muda, saya lebih senang berada di belakang tabir, malah meletak jawatan daripada kepimpinan kerana merasakan diri tidak dilahirkan untuk memimpin, sebaliknya mengikut,” katanya kepada Malaysia Decides.

Namun itu cerita dulu.

Chow kini bukan sahaja ketua menteri Pulau Pinang baharu tetapi mewarisi legasi terdahulu. Lim Guan Eng, pendahulunya, disanjungi ramai pihak kerana berjaya membangunkan Pulau Mutiara menjadi sebuah model tadbir urus yang baik dan pengurusan kewangan yang berkesan.

Tidak memeranjatkan jika Lim memilih Chow sebagai penggantinya.  

‎Ahli Parlimen Tanjong empat penggal dan Adun Padang Kota tiga penggal itu pernah dipilih untuk mengisi beberapa jawatan untuk beberapa kali dan berjaya membuktikan kebolehannya.

Sewaktu DAP menghadapi krisis KOKS (Kick-Out-Kit-Siang) pada 90-an yang menyaksikan pemimpin kanan meninggalkan parti, beliau dipilih dalam kalangan ahli senior parti untuk memimpin.

Sewaktu Lim didakwa atas tuduhan rasuah pada 2016, Chow dinamakan sebagai ketua menteri Pulau Pinang yang seterusnya, negeri yang dikuasai DAP sejak 2008.

Chow bersedia untuk keluar dari bayang-bayang dan mengalas tugas memimpin.

‎“Bila keadaan menuntut agar anda ke hadapan, anda perlu lakukannya. Untuk ahli politik dan pemimpin, tidak ada masa yang sesuai (untuk mengambil alih kepimpinan)... 10 tahun yang lepas telah banyak merubah keyakinan peribadi saya,” kata Chow.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, dalam wawancara bersama Malaysia Decides, berkata beliau sebelum ini tidak percaya terhadap kemampuannya untuk memimpin namun kini berbangga kerana dipilih untuk menerajui kerajaan negeri.

Sebagai exco dalam pentadbiran Lim, Chow, 60, memegang portfolio yang agak berat - kerajaan tempatan, pengurusan lalulintas dan tebatan banjir.

Chow berkata beliau senang bekerja di bawah Lim kerana mereka berdua saling melengkapi, dan berharap perbezaan dalam pendekatan dan sifat mereka akan dihargai rakyat Pulau Pinang.

“Lim dan saya bekerjasama baik kerana kami mempunyai sifat dan pendekatan yang berbeza.

Katanya, beliau terbuka untuk menerima sebarang idea dan akan bersikap tegas dalam membuat keputusan.

Rancangan untuk Pulau Pinang

‎Selepas mengangkat sumpah pada Isnin, Chow mengumumkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya utama, serta Penambakan Pulau Pinang Selatan (PSR), akan diteruskan seperti yang dirancang.

‎Dengan 60% penduduk masih bergantung kepada kenderaan persendirian, Chow berkata kerajaan negeri komited menyeimbangkan antara kelestarian alam sekitar dan meningkatkan pengangkutan awam.

‎“Kami tidak boleh kata yang kami akan hentikan projek-projek berkenaan. Kami akan cuba menggabungkan keperluan masyarakat dan tuntutan untuk kemajuan, lebih banyak jalan, lebih banyak ruang letak kereta, tahap kehidupan yang lebih baik dalam apa yang kami rancang tanpa mengorbankan alam sekitar.”

‎Chow menggesa badan bukan kerajaan dan pengkritik memberi ruang kepada kerajaan negeri dan Pusat yang baharu untuk menerajui Pulau Pinang, memandangkan cabaran dan kekangan yang mungkin terpaksa dihadapi mereka.

Beliau berkata walaupun Lim menjadi Menteri Kewangan, Pulau Pinang mungkin tidak mendapat kesemua dana yang diminta untuk projek sistem LRT (Keretapi Aliran Ringan), perumahan dan tebatan banjir, kerana negara kini menanggung hutang yang besar.

“Kita mungkin dapat sedikit daripada yang kita harapkan, jadi kami minta supaya bersabar. Kami tidak boleh memberikan penyelesaian secara pantas.”  – 23 Mei, 2018.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen