Majlis Raja-raja bertindak dalam ruang lingkup Perlembagaan


The Malaysian Insight

PIHAK istana menafikan dakwaan bahawa Majlis Raja-raja tidak mengendahkan sebanyak dua kali rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar baginda bertindak terhadap Najib Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Syed Danial Syed Ahmad berkata Majlis Raja-raja sebelum ini mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut pada 6 Oktober 2015, menggesa supaya kerajaan, yang dipimpin bekas perdana menteri Najib, untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Kenyataan itu turut mengingatkan jika skandal berbilion ringgit itu tidak ditangani dengan bijak dan diselesaikan dengan segera, ia dibimbangi akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

“Dalam ruang lingkup peranan dan kuasa Raja-raja berlandaskan Perlembagaan, Raja-raja telah menitahkan untuk satu kenyataan, yang menunjukkan bahawa Duli-duli Yang Maha Mulia memberikan perhatian yang berat, dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dilampirkan dalam kenyataan hari ini adalah salinan kenyataan 2015.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Shukri Abdull pada sidang media hari ini berkata beliau dan pendahulunya Abu Kassim Mohamed cuba menyakinkan menteri Kabinet agar bertindak terhadap Najib namun gagal.

Mereka turut mengadap Majlis Raja-raja sebanyak dua kali bagi menyakinkan baginda untuk mengambil tindakan terhadap perdana menteri namun menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, pakar Perlembagaan berkata tidak banyak yang mampu dilakukan raja-raja daripada sudut perundangan selain menasihati kerajaan. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen