Polis syak objek asing dimasukkan ke dubur mangsa serangan


Looi Sue-Chern

Ketua Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang Timbalan Pesuruhjaya Anuar Omar berkata siasatan hampir selesai tetapi ada kemungkinan dakwaan tambahan dilakukan dengan persetujuan pendakwaraya. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Jun, 2017.

POLIS mengatakan objek tertentu digunakan dan dimasukkan ke dalam dubur seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang mati otak selepas diserang remaja seusianya malam Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Timbalan Pesuruhjaya Anuar Omar berkata sampel rektum sudah diambil tetapi mengesyaki objek tertentu telah digunakan.

Katanya lagi polis sudah menghantar pegawainya kembali ke tempat serangan untuk mengesan objek tersebut.

“Kami sedang pertimbangkan siasatan di bawah Seksyen 377C. Ia bergantung kepada laporan doktor tentang objek apa yang digunakan.

“Kemudian, ia bergantung sama ada pihak pendakwaraya akan meluluskan (dakwaan tambahan),” katanya kepada pemberita di ibu pejabat polis daerah hari ini.

Seksyen 377C Kanun Keseksaan berkaitan dengan kesalahan melakukan persetubuhan luar tabii secara paksaan.

Buat masa ini, Anuar berkata kes itu masih disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

“Siasatan pembunuhan mungkin dilakukan, tetapi hanya akan dilakukan sekiranya mangsa meninggal dunia,” katanya.

Ditanya mengapa keluarga mangsa hanya mengetahui kecederaan bahagian sulit mangsa sehari selepas dia diisytiharkan mati otak, Anuar berkata penemuan itu dilakukan pakar yang memeriksa mangsa pada hari Ahad.

Katanya, pakar menemui pendarahan di dubur mangsa, menunjukkan yang ada objek dimasukkan ke dalam dubur mangsa.

Remaja itu dan bersama rakannya yang juga berusia 19 tahun berada di gerai burger di Island Glades berhampiran rumahnya di Taman Tun Sardon lewat malam Jumaat ketika serangan itu berlaku. Mereka berjumpa dengan dua bekas rakan sekolah yang mula mengusik mereka.

Selepas mangsa meminta mereka supaya tidak menganggunya, dua suspek itu memanggil beberapa orang rakan mereka ke tempat kejadian. Selepas tiga remaja lelaki lain datang, mangsa dibawa ke padang berhampiran dan diserang.

Ketika dia dibawa ke hospital awal pagi Sabtu, dia sudah tidak sedarkan diri dan diisytiharkan mati otak tidak lama kemudian.

Anuar berkata salah seorang suspek, yang tidak terlibat memukul mangsa memanggil abangya untuk membantu menghantar mangsa ke Hospital Pulau Pinang.

“Tetapi mangsa, yang sudah cedera di kepala sudahpun koma (ketika itu).

“Menurut laporan perubatan lama mangsa, dia pernah menjalani rawatan kerana ketumbuhan dalam kepala,” katanya menambah yang hospital masih lagi tidak mendedahkan punca yang menyebabkan mangsa mati otak.

Bagaimanapun, Anuar berkata yang siasatan berkaitan kes serangan itu hampir selesai dan semua suspek terlibat sudah ditahan.

Katanya lagi hanya lima orang remaja berumur antara 18 dan 17 tahun yang didakwa memukul mangsa lewat malam Jumaat itu.

Lima remaja itu ditahan hujung minggu lepas. Polis juga berjaya mendapatkan lanjutan tahan reman kepada semua mereka- satu hari lagi untuk dua remaja sekolah menengah berusia 17 tahun dan tiga hari lagi untuk tiga remaja berusia 18 tahun. Dua daripada suspek yang berusia 18 tahun merupakan pelajar kolej dan seorang lagi tidak bekerja.

Anuar berkata kelima-lima mereka berasal daripada keluarga kelas menengah dan polis juga sudah meminta sekolah dan kolej mereka menghantar laporan prestasi dan rekod persekolahan mereka.

“Kami tidak menemui unsur gangsterism dalam kes ini. Semua mereka mengenali satu sama lain di sekolah. Suspek juga pernah membuli mangsa sebelum ini.

“Mereka mengaku memukul mangsa ketika disoal polis.

“Ia bermula apabila dua bekas rakan sekolah bertembung mangsa dan mula mengejeknya, menggelarkannya ‘pondan’ dan penakut. Mereka mengejek misai mangsa,” katanya.

Anuar berkata yang polis juga sudah mengambil keterangan beberapa orang saksi termasuk lima doktor dan kawan mangsa yang berada bersamanya di gerai burger itu tetapi berjaya melarikan diri.

“Remaja itu sangat membantu polis dalam siasatan. Dia mengenalpasti semua suspek.

“Dia cedera di muka selepas dipukul dengan topi kaledar. Dia sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang,” kata Anuar.

Semalam keluarga mangsa mengadakan sidang media untuk mendedahkan serangan dan kecederaan dialami mangsa selepas mengetahui yang mangsa juga dicederakan di bahagian sulitnya.

Pakcik dan makcik mangsa menyifatkan mangsa sebagai sopan santun, baik dan bercita-cita tinggi. Dia mahu menjadi komposer musik dan sepatutnya akan mendaftar pengajian dalam bidang itu.

Kawan keluarga mangsa yang juga seorang peguam, Baljit Singh mendesak polis menyiasat sepenuhnya dan memaklukan perkembangan terkini kepada keluarga mangsa.

Ahli Parlimen Gelugor Ramkarpal Singh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima RSN Rayer, kedua-duanya juga peguam melawat keluarga mangsa untuk menawarkan bantuan dan sokongan.

Hari ini, Ramkarpal dalam satu kenyataan mengatakan yang kejadian itu “sangat keji dan nampaknya tidak diprovokasi”.

Dia mendesak polis melakukan siasatan daripada semua aspek, tidak terbatas kepada cubaan membunuh dan liwat kepada mangsa tetapi juga kerana mencederakan rakan mangsa yang berjaya melarikan diri daripada serangan itu.

“Ia bukan sekadar kes pukul dan buli sepertimana dilaporkan tetapi ada kemungkinan cubaan bunuh, terutama sekali apabila mangsa diserang ramai penyerang.

“Tambahan pula, nampaknya ada bukti kecederaan disebabkan liwat yang perlu disiasat. Kecederaan yang dialami mangsa juga mencadangkan yang penyerangnya sedar tindakan mereka boleh menyebabkan kematian dan perkara ini tidak boleh diketepikan pada peringkat ini.

“Penting juga untuk disiasat kecederaan rakan mangsa yang jelas sekali diserang dan kini sedang trauma kerana kejadian itu,” katanya. – 13 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen