Tahniah, kami akan memerhati, Zahid beritahu Kabinet baharu


The Malaysian Insight

BEKAS timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno akan memantau Kabinet Pakatan Harapan (PH) yang baru mengangkat sumpah bagi memastikan kerajaan Persekutuan baharu itu akan memenuhi janji-janji pilihan rayanya.

Naib presiden yang memangku jawatan presiden parti berkata, Umno yang kini pembangkang akan “memantau setiap langkah dan tindakan kerajaan baharu” dan “membangkang secara konstruktif”.

“Kami di dalam Umno tentunya akan memerhatikan setiap langkah dan tindakan-tindakan kerajaan baharu ini dan tentunya kami sebagai pembangkang akan membangkang secara konstruktif

“Kami akan melihat pelunasan janji-janji yang termaktub dalam menifesto pilihan raya PH.

“Umno dan Barisan Nasional (BN) merasakan bahawa sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, tentulah rakyat mengharapkan segala janji mereka di dalam manifesto terutamanya untuk 100 hari pertama dilaksanakan,” beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno petang tadi.

Menteri-menteri Kabinet PH memulakan tugas di Putrajaya hari ini selepas mengangkat sumpah petang semalam di Istana Negara.

PH menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 selepas 61 tahun memegang tampuk pemerintahan. Bekas perdana menteri Najib Razak meletak jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN pada 12 Mei lalu.

Zahid berkata Umno dan BN akan menentukan bagaimana harus terus mantap dan bagaimana 76 ahli Parlimen mereka akan memainkan peranan sebagai pembangkang.

Apa yang penting, kata Zahid, ialah menstruktur, menjenama semula serta mengukuhkan parti.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang ditugaskan untuk melaksanakan cadangan menstruktur semula Umno dan BN berkata mereka mempunyai masa sebulan menyelesaikan perkara mengenai idologi, struktur dan operasi parti. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen