Zahid, Hishammuddin nafi dakwaan ketua pesuruhjaya SPRM


The Malaysian Insight

DUA bekas menteri menafikan dakwaan bahawa mereka pernah digesa oleh pucuk pimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini untuk mendesak bekas perdana menteri Najib Razak meletak jawatan.

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein menafikan perkara itu apabila ditanya.

“Ia di luar maklumat saya, tak ada (pertemuan),” kata Ahmad Zahid hari ini dalam sidang medianya apabila disoal mengenai dakwaan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull itu.

Pemangku presiden Umno itu yang menjawab dengan acuh tidak acuh kemudiannya bertanya kepada Hishamuddin Hussin di sebelahnya mengenai dakwaan sama.

Naib Presiden itu hanya menjawab “Tidak” sambil menggeleng kepala.

Kedua-duanya ditanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi di Ibu Pejabat Umno di Pusat Perdagangan Dunia Putra.

Terdahulu Shukri dalam sidang medianya berkata gesaan itu dibuat oleh beliau ketika masih menjadi timbalan ketua pesuruhjaya operasi SPRM, bersama ketua pesuruhjaya waktu itu Abu Kassim Mohamed.

Katanya, mereka berdua menegaskan kepada jemaah menteri dan Majlis Raja-Raja bahawa tuduhan berhubung penyelewengan dana 1MDB itu berasas boleh dibuktikan.

“Kami berpecah untuk bertemu dengan semua menteri merayu dan meminta supaya buang dan gantilah Najib dengan orang lain, dengan (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) ke, (Datuk Seri) Hishammuddin (Hussein) ke, sebab jumlahnya terlalu besar RM2.6 bilion,” kata Ahmad Shukri.

Tambahnya, Majlis Raja-Raja tidak bertindak ke atas gesaan mereka dan hanya segelintir menteri kabinet yang bersuara mengenai kes tersebut.

“Daripada semua menteri yang kami temui, hanya tiga sahaja berani bersuara iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Yang lain semua takut,” katanya. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen