AHLI Parlimen BN, Azeez Rahim berkata beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan cubaan menyogok pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menutup siasatan ke atas Najib Razak.
Ahli Parlimen Baling, Kedah itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan menggemparkan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Shukri Abdull hari ini.
“Tak tahu. Itu saya tidak tahu,” kata Pengerusi Tabung Haji itu lagi dengan ringkas sebelum memutuskan talian ketika dihubungi Malaysia Decides petang ini.
Terdahulu Shukri dalam sidang medianya berkata, seorang wakil rakyat dari negeri utara yang digelarnya sebagai “King of Cash” menawarkan kepadanya untuk meminta apa sahaja agar kes berkenaan ditutup.
“Ahli Parlimen itu tanya ‘you nak apa’? Saya cakap jangan masuk campur siasatan saya. Saya tidak mahu apa-apa. Saya hanya jalankan tanggungjawab dan saya tidak mempunyai kepentingan dalam kes ini.
“Saya tegaskan kepada beliau bahawa kes ini tidak akan ditarik balik dan kalau sekali lagi dia datang, saya akan tangkap kerana menghalang siasatan.
“Ahli Parlimen ini tidak terlibat dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1MDB tetapi dia hanya orang suruhan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Shukri merupakan timbalan ketua pesuruhjaya operasi SPRM ketika cubaan sogokan itu dibuat pada 2015.
Shukri mendedahkan hari ini, perkara itu merupakan antara salah satu tekanan dari jentera kerajaan BN yang diterimanya ketika pertuduhan ke atas perdana menteri Najib Razak sedang disediakan waktu itu.
Beliau turut mendedahkan bahawa nyawa beliau diancam, selain ditekan untuk meletak jawatan apabila pertuduhan ke atas Najib hampir disiapkan.
Beliau dipaksa untuk bersara pada Oktober 2016 dan kini dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM oleh pentadbiran baharu Dr Mahathir Mohamad.
Shukri meneruskan siasatan berhubung dana berjumla RM2.6 bilion, didakwa oleh penderma Arab dan juga wang RM42 bilion yang masuk ke akaun Najib.
Najib hari ini hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan selama empat jam. Beliau dikehendaki hadir semula esok untuk memberi keterangan lanjut. – 22 Mei, 2018.
Komen