JAWATAN Presiden Umno kini terbuka untuk dipertandingkan dalam pemilihan Umno yang akan diadakan pada 30 Jun ini, kata pemangkunya, Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata selain jawatan presiden, jawatan tertinggi Umno yang lain seperti timbalan, naib dan ketua sayap juga diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) untuk dipertandingkan.
“Semua jawatan yang ada ikut perlembagaan peraturan Umno terbuka dan bebas untuk dipertandingkan ikut kelayakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis TerTinggi di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Sebelum ini, jawatan presiden dan naib presiden Umno diputuskan untuk tidak dipertandingkan susulan daripada usul yang diluluskan mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, selepas kekalahan teruk Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14, terdapat desakan daripada sayap Pemuda dan Puteri untuk tiga jawatan tertinggi itu dibuka untuk dipertandingkan.
Dengan keputusan tersebut, Zahid berkata tidak ada lagi isu dan konflik mengenai jawatan tertinggi itu selepas ini.
“Saya dan Hishammuddin Hussein berlapang dada mahu siapa saja yang layak bertanding jawatan jawatan tersebut mengikut peraturan.”
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada minggu lepas berkata tiada jawatan yang dianggap suci dan amalan tiada pertandingan bagi kepimpinan parti menjadi sebab mengapa Umno kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Umno hanya menang 45 kerusi Parlimen berbanding 88 kerusi pada 2013.
“Nampak seperti kami tidak memberi ruang demokratik kepada ahli. Amalan tiada pertandingan yang mengarut ini perlu dihentikan,” beliau dipetik sebagai berkata. – 22 Mei, 2018.
Komen