SPRM soal siasat Jeffrey Kitingan atas dakwaan rasuah


The Malaysian Insight

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyoal siasat Presiden Star Dr Jeffrey Kitingan selama empat jam atas dakwaan sogokan RM20 juta supaya partinya menyokong Barisan Nasional (BN).

Star yang memenangi kerusi DUN Bingkor dan Tambunan menjadi ‘kingmaker’ pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, selepas Parti Warisan Sabah dan BN terikat dengan 29 kerusi.

Pengguna media sosial Sabah mempersoalkan sokongan mengejut parti itu kepada BN dan khabar angin mengenai pembayaran RM20 juta yang diterima Jeffrey. 

Jeffrey yang selesai memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu pada jam 6 petang menuntut agar semua ahli politik yang melompat parti disiasat.

“Mereka (SPRM) perlu siasat semua pemimpin, terutamanya mereka yang melompat parti, dan saya rasa SPRM juga perlu menyelesaikan siasatan mereka yang lepas. Bagi saya, pemimpin-pemimpin ini penyangak dan mereka harus disiasat.

“Ini untuk memuaskan hati rakyat Sabah,” katanya.

Beliau merujuk kepada siasatan SPRM terhadap Presiden Warisan Shafie Apdal serta beberapa lagi ahli parti itu seperti Azis Jamman dan Peter Anthony, atas dakwaan menggelapkan dana Persekutuan untuk Sabah pada tahun lepas.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata rumah serta pejabatnya di Keningau dan di Kota Kinabali telah diserbu pada malam semalam.

Kad ATM dan wang tunai di dalam begnya juga dirampas oleh pegawai SPRM.

“Mereka kata akan pulangkan nanti…Ada kira-kira RM80,000 dalam beg saya pada masa itu,” kata Jeffrey sambil berseloroh beliau kini tiada duit untuk membeli makanan.

Pegawai SPRM mulanya menghubungi Jeffrey untuk diambil keterangan pada Ahad lalu tetapi ketika itu beiau berada di Tambunan.

Ia kemudian ditetapkan pada hari ini tetapi SPRM menyerbu rumahnya malam semalam.

“Bagaimanapun, mereka adalah profesioanl dan menjalankan tugas dengan teratur dan saya telah memberi kerjasaman penuh kepada mereka,” katanya.

Sabah Star beralih sokongan kepada BN sehari sebelum PRU14 dan memberi laluan kepada Pengerusi BN Sabah Musa Aman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Namun, gabungan itu hilang majoriti selepas beberapa ahli Umno dan Upko menyertai Warisan. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen