Jawatan TPM 2 untuk Sabah, Sarawak kuasa mutlak PM, kata Pakatan


The Malaysian Insight

LANTIKAN timbalan perdana menteri kedua (TPM 2) dari Sabah dan Sarawak tertakluk pada kuasa mutlak perdana menteri, kata Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Abdullah.

Katanya, buat masa ini Majlis Presiden PH belum mengangkat agenda itu dalam perbincangan mereka.

“Ia bergantung kepada PM. Tapi dalam pengetahuan saya, Majlis Presiden (PH) tak tekankan agenda itu. Ia tiada dalam manifesto (peringkat nasional),” katanya kepada wartawan hari ini, merujuk kepada Buku Harapan.

Walaupun janji jawatan TPM 2 tiada dalam Buku Harapan, janji itu terkandung dalam manifesto khas untuk Sabah dan Sarawak yang dilancarkan oleh Presiden PH, Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kota Kinabalu pada 22 September 2017.

Dalam manifesto itu, PH juga berjanji mengagihkan bahagian pendapatan yang lebih besar sekiranya pakatan itu berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14. 

Kerjasama PH dan Warisan di Sabah berjaya merampas negeri itu daripada Barisan Nasional, dan Shafie Apdal mengangkat sumpah menjadi ketua menteri Sabah selepas gabungan itu mendapat sokongan 36 daripada 60 wakil rakyat.

PH-Warisan turut berjaya mendapat 14 daripada 25 kerusi Parlimen sementara di Sarawak, PKR dan DAP yang memakai logo masing-masing berjaya mendapat 10 daripada 29 kerusi parlimen, pencapaian terbaik setakat ini yang berjaya mengekang BN.

Hari ini, Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Sarawak Abdul Aziz Isa menggesa Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri memperkenalkan satu kerusi TPM 2 dalam kabinet beliau untuk diisi seorang wakil daripada Malaysia Timur.

Menurut Abdul Aziz ini adalah untuk memastikan isu berkaitan Sabah dan Sarawak dapat ditangani dengan segera dan baik oleh kerajaan PH. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen