KECEWA
Itulah perkataan yang sesuai untuk mengambarkan perasaan yang dirasai pengguna media sosial ekoran keengganan Majlis Raja-raja bertindak mengikut rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal 1Malayasia Development Berhad (1MDB).
SPRM mengadap raja-raja sebanyak dua kali untuk memaklumkan bahawa kes membabitkan wang berjumlah RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak adalah benar dan merayu agar baginda bertindak memandangkan kerajaan ketika itu menyekat siasatan ke atas skandal terbabit.
“Ia memerlukan usaha rakyat dan seorang lelaki berusia 94 tahun untuk menentang kerajaan kleptokratik,” kata Fauziah Ibrahim dalam ruangan komen di bawah pautan berita mengenai perkara itu di Facebook.
“Ia amat menyedihkan apabila mengetahui yang raja-raja tidak prihatin terhadap kita sebagai rakyat,” kata pengguna Facebook Raslina Ibrahim.
“Saya turut rasa kecewa mendengar perkara ini. Majlis Raja-raja mengecewakan saya,” kata Halisah Ashari.
“Sekarang kita tahu raja-raja berpihak kepada siapa,” kata John Wong.
Dalam nada penuh emosi Ketua Pesuruhjaya SPRM Shukri Abdull memberitahu pemberita hari ini yang bekas ketua pesuruhjaya SPRM sebelum ini Abu Kassim Mohamed mengadap Majlis Raja-raja sebanyak dua kali untuk meminta baginda bertindak ke atas skandal 1MDB namun tidak berjaya.
Bekas timbalan pengerusi Bersih 2.0 Sarajun Hoda turut berkongsi hantaran di Facebook yang jika Majlis Raja-raja mengambil tindakan tegas ketika itu: “Malaysia tidak akan terjerumus dalam kancah keburukan dan menjadi bankrap.”
“Majlis Raja-raja perlu mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan yang dibuat oleh Shukri berkenaan mengapa baginda enggan membantu dalam skandal 1MDB,” tulis pengguna Twitter @MuazFadhli.
Seorang lagi pengguna Faceb0ok Ze Lee turut berkongsi pandangan yang sama: “Harap mereka ada penjelasan untuk diberikan kepada rakyat.”
Mazola Sindhu berkata raja-raja harus berpihak pada rakyat.
“Raja-raja Melayu, menteri Melayu, Ketua Polis Negara Melayu, semuanya gagal pertahankan Melayu,” kata seorang lagi pengguna Facebook Foon Peng Kheong.
Ada juga yang memuji Shukri kerana berani dan menunjukkan integriti walaupun nyawanya diancam hanya kerana mahu menyiasat Najib dan skandal 1MDB.
“Tolong fokus dakwa pihak bertanggungjawab secepat mungkin. Sekarang masanya untuk menggembleng rasa tidak puasa hati itu dalam bentuk tindakan segera,” kata pengguna Facebook Steven Cheah. – 22 Mei, 2018.
Komen