SEKUMPULAN 150 pelajar A-Level menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghidupkan semula program Ijazah Luar Negara (PILN) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dihentikan sejak dua tahun lalu oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Menurut wakil mereka, Khoo Qi Xuan, ini kerana ramai pelajar khususnya yang sedang mengikuti program lepasan SPM seperti A-Level mahukan peluang itu dikembalikan oleh PH.
“Perlu bawa kembali polisi hantar pelajar ke luar negara oleh JPA. Ini kerana ramai pelajar lepasan SPM telahpun mendapat tawaran ke 50 Universiti terkemuka antarabangsa hanya mendapat biasiswa ke universiti tempatan,” kata beliau ketika ditemui di ibu pejabat Bersatu hari ini.
Khoo dan rakan-rakannya menyampaikan draf petisyen mereka dan bermesyuarat bersama Ketua Sekretariat PH Saifuddin Abdullah, wakil Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan JPA sendiri bagi membincangkan perkara tersebut.
Menurut petisyen itu, pelaksanaan dan penambahbaikan biasiswa JPA perlu dilakukan bagi membolehkan program seperti PILN berlangsung semula dan Malaysia tidak ketinggalan di persada dunia.
Sementara itu, Saifuddin berkata beliau akan menghantar nota mesyuarat tersebut malam ini juga kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk dibawa ke mesyuarat Kabinet pertama kerajaan PH esok.
“Oleh kerana Kabinet hanya akan bermesyuarat esok dan perkara ini kita harap akan mendapat perhatian segera sebab kalau kita ada dasar baru nak hantar pelajar ke luar negeri yang pertamanya adalah pada bulan September.
“Dasar baharu kena dibuat, terma rujukan kena diadakan,” kata Saifuddin dalam sidang media selepas pertemuan itu.
Bagaimanapun, Saifuddin mengakui pelbagai perkara perlu diambil kira PH bagi memastikan agensi kerajaan mampu memperuntukkan biasiswa menghantar kembali pelajar keluar negara seperti dahulu.
“Pertama, adakah kita ingin mewujudkan semula biasiswa atau tidak. Yang kedua, berapakah kuantum atau jumlah pelajar yang nak dihantar ke luar negara setiap tahun. Ini semua adalah dasar baharu yang perlu dibuat.
“Ketiga, apakah bidang pengajian yang kita perlu hantar pelajar ke luar negara, yang keempat ialah amaun biasiswa itu.
“Dan kalau biasiswa dalam negeri juga perlu dikaji elaun sara hidup sebab biasiswa itu ada banyak komponen, yuran, elaun sara hidup. Jadi adakah elaun sara hidup yang sekarang ini memadai,” kata beliau.
JPA sebelum ini telah mengumumkan bahawa mereka akan menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya bagi bidang yang kritikal sahaja dan tidak dibenarkan sama sekali mengambil kursus yang diminati dan menganggap mereka berhak memperoleh biasiswa JPA.
Penawaran itu difokuskan kepada bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan, sains dan teknologi, termasuk sains sosial yang diperlukan oleh perkhidmatan awam di negara ini.
Mengikut rekod JPA menerima 16,900 permohonan bagi PILN dan 8,857 daripada jumlah itu melepasi syarat serta gred minimum mengikut bidang pengajian.
Pada 2011, Kerajaan memperuntukkan 1,500 biasiswa PILN dan 2,500 biasiswa Program Ijazah Dalam Negara (PIDN), tetapi hanya 300 pelajar saja yang menerima biasiswa PILN berdasarkan kepada kriteria ditetapkan.
Selepas 2016, JPA hanya menawarkan program Khas pelajar lepasan SPM ke Jepun Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ). – 22 Mei, 2018.
Komen