Guan Eng dedah bukti BN seleweng fakta kewangan, 1MDB


The Malaysian Insight

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau memperolehi bukti bahawa kerajaan terdahulu menyeleweng fakta mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kedudukan kewangan negara.

Katanya, perkara itu diberitahu kepadanya oleh pegawai tinggi perbendaharaan negara yang menyatakan mereka dihalang dari meneliti akaun dan laporan tertentu,

“Pendedahan mengejutkan adalah mereka tidak dapat mengakses akaun dan laporan tertentu.

“Terdapat juga aduan bahawa fail ‘merah’ tertentu hanya boleh diakses oleh pihak tertentu yang menghalang pegawai dan pangaudit daripada menjalankan tanggungjawab dengan berintegriti,” katanya.

Jelasnya, penemuan itu berdasarkan pertemuan dengan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Zauyah Md Desa dan juga Ketua Audit Negara Madinah Mohamad.

“Jelas bahawa kerajaan terdahulu menjalankan satu tindakan penipuan kepada orang awam mengenai beberapa perkara penting terutama 1MDB dan juga memberi gambaran salah mengenai keadaan kewangan kepada Parlimen.

“Satu siasatan menyeluruh dan penyiasatan masih lagi dijalankan untuk mendedahkan maklumat kewangan dan data yang diperlukan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ketika ditanya, Lim berkata kementeriannya kini masih berusaha untuk mendapatkan fail lain untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kedudukan kewangan negara.

Beliau juga memberi jaminan bahawa asas ekonomi dan kedudukan fiskal negara masih kukuh walaupun jumlah hutang negara kini melepasi paras RM1 trilion.

“Asas ekonomi tetap kukuh. Saya rasa apa yang penting sekarang adalah membersihkan masalah yang ditinggalkan (kerajaan terdahulu).

Ditanya lanjut, beliau berkata negara juga pasti bankrap sekiranya masih berada bawah pentadbiran BN.

“Sekiranya di bawah kerajaan lama, ya. Tapi bawah kerajaan sekarang tidak. Kita akan selamatkan keadaan,” katanya yang menambah keyakinan pelabur akan meningkat apabila melihat langkah penyelamatan itu berhasil. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen