MAJLIS Penasihat Kerajaan berbincang mengenai subsidi bahan api hari ini, kata bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.
Salah satu janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) ialah membantu menstabilkan kos bahan api dan memperkenalkan subsidi sasaran untuk kenderaan berkuasa lebih rendah.
Tiada perbincangan mengenai hutang negara bernilai RM1 trilion, kata Daim.
Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata hutang negara telah mencapai angka yang amat membimbangkan.
Majlis Penasihat Kerajaan mengadakan beberapa pertemuan dengan pegawai-pegawai kerajaan sejak 10.30 pagi tadi.
Antara yang hadir di Menara Ilham hari ini ialah Ketua Pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Shahril Ridza Ridzuan, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Azman Mokhtar, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Jamil Salleh, Ketua PEngarah Kastam T Subromaniam, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Nik Azman Nik Abdul Majid dan Pengarah Pembangunan EPU Adam Sulong.
Khamis lalu, pegawai-pegawai kanan dari Khazanah dan KWSP serta wakil-wakil dari syarikat konsesi memberi taklimat kepada majlis tersebut.
Pemegang-pemegang saham Plus Highway dan pegawai-pegawai pengurus UEM dan Plus Highway juga bertemu ahli-ahli Majlis Penasihat Kerajaan pada hari yang sama. – 22 Mei, 2018.
Komen