KETUA Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy perlu menjelaskan sama ada syarikat milik penuh kerajaan itu mampu membayar faedah sebanyak RM143.75 juta pada 30 Mei ini, soal Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata 1MDB juga perlu membayar faedah sebanyak RM810 juta lagi antara September dan November tahun ini.
“Kami menyatakan kebimbangan mengenai perkara di atas kerana saya dimaklumkan oleh pegawai Kementerian Kewangan (MoF) bahawa MoF terpaksa menanggung pembayaran khidmat hutang 1MDB sejak April 2017,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata bayaran yang dibuat bagi pihak firma tersebut mencecah RM6.98 bilion.
Lim berkata jumlah berkenaan termasuk pembayaran yang dibuat kepada syarikat Abu Dhabi IPIC sebagai sebahagian penyelesaian perjanjian berjumlah RM5.05 bilion.
“Perkara di atas mengesahkan kebimbangan awam yang 1MDB pada asasnya menipu rakyat Malaysia dengan mendakwa yang mereka telah membuat bayaran melalui langkah rasionalisasi yang berjaya,” katanya.
“Selama ini MoF lah sebenarnya yang membayar hutang 1MDB.”
Lim berkata Arul Kanda pada Selasa bertegas mengatakan syarikat itu mampu menjelaskan hutang.
“Saya sudah mengarahkan Arul Kanda memberi taklimat kepada kementerian sekiraya 1MDB mampu membayar balik hutang itu pada minggu depan,” katanya.
Tambah beliau, Pengarah 1MDB Norazman Ayob dan Kamal Mohd Ali juga akan dipanggil untuk memberi taklimat mengenai hal ehwal 1MDB. – 22 Mei, 2018.
Komen