Rakyat Malaysia boleh percayakan Majlis Penasihat Kerajaan, kata Robert Kuok


The Malaysian Insight

RAKYAT Malaysia boleh mempercayai Majlis Penasihat Kerajaan untuk meletakkan negara kembali ke landasan yang betul, kata taikun Robert Kuok.

Bercakap kepada media Malaysia buat pertama kali selepas tiba di Kuala Lumpur hari ini, Kuok menggambarkan ahli-ahli majlis tersebut sebagai “rakyat Malaysia yang sangat bagus”.

“Saya tinggal di Hong Kong, jadi saya tak selalu hadir, tapi Tun Daim, Tan Sri Zeti, Tan Sri  Merican, Professor Jomo adalah orang-orang yang sangat bagus. Percayakan mereka,” katanya.

Kuok, 94, adalah antara lima ahli Majlis Penasihat Kerajaan bersama bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, bekas gebenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden Petronas Hassan Merican dan ahli ekonomi terkenal Prof Jomo Kwame Sundram.

Apabila ditanya apakah pendapat beliau mengenai kerajaan Pakatan Harapan, Kuok memberitahu,“Apa yang boleh saya cakap, kita semua harapkan yang baik-baik untuk negara kita. Kita harap rakyat dijaga dengan baik.”

Kuok enggan mengulas apabila ditanya sama ada beliau akan tinggal di Malaysia untuk 90 hari lagi, di mana majlis tersebut akan kerap mengadakan pertemuan.

Majlis yang ditubuhkan beberapa hari selepas kerajaan Pakatan Harapan dibentuk, sibuk bertemu pegawai kanan kerajaan, GLC dan NGO sejajar dengan perananannya sebagai penasihat kepada kerajaan. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen