Jamal Yunos ditahan


The Malaysian Insight

JAMAL Yunos, pemimpin akar umbi Umno Selangor yang kontroversi, ditahan polis di bawah Akta Senjata Api 1960 kerana menunjuk-nunjukkan pistolnya kepada umum.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu ditahan di sebuah hospital swasta di Ampang kira-kira pukul 1.15 tengahari tadi oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Ketua Polis Selangor, Mazlan Mansor berkata polis mempunyai dua lagi waran tangkap ke atas Jamal, yang bakal disiasat selepas ahli politik itu menjalani rawatan.

“Suspek berkenaan masih ditahan di hospital tersebut kerana masih menjalani rawatan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan bagaimanapun tidak menjelaskan rawatan yang dijalani Jamal. 

Menurut polis lagi, tangkapan dibuat selepas mereka menerima aduan pada 12 Mei lalu, tiga hari selepas pilihan raya umum lalu, tentang gambar yang tular di media sosial menunjukkan Jamal “bergaya” dengan senjata api.

Seksyen 34 Akta Senjata api itu merujuk kepada perbuatan membawa senjata api dalam keadaan mabuk atau tidak tenteram, yang membawa hukuman maksimum setahun penjara atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan. 

Jamal terkenal dengan perlakuan kontroversi beliau termasuk mengetuai gerakan baju merah yang menentang himpunan Bersih beberapa kali sebelum ini selain terkenal dengan gimik beliau ketika memprotes kerajaan negeri Selangor Pakatan sebelum ini.

Beliau bagaimanapun tidak bertanding pada pilihan raya umum lalu yang menyaksikan kekalahan pertama kerajaan BN sejak negara Merdeka 61 tahun lalu. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen