KAKITANGAN pusat rangkaian kecergasan True Fitness mendakwa syarikat milik Singapura itu masih berhutang pampasan dan komisen mereka selepas menghentikan operasinya di Malaysia pada 10 Jun.
Kira-kira 30 kakitangan True Fitness berkumpul di depan Pejabat Tenaga Kerja di Subang Jaya pagi tadi untuk membuat bantahan terhadap penutupan tiba-tiba syarikat itu dan tunggakan yang masih belum dijelaskan kepada mereka.
Beberapa kakitangan turut memfailkan laporan di pejabat itu pagi tadi.
Bekas pengurus True Fitness cawangan Subang Taipan Shahrul Hambiri Sharuddin berkata sebelum ini ramai pekerja tahu mengenai masalah kewangan dihadapi pusat kecergasan itu, tetapi pengurusan atasan True Fitness meminta pekerja setia bersama sebagai tanda sokongan.
Shahrul yang bekerja dengan True Fitness sejak tujuh tahun lalu berkata dia dan pekerja lain mula menyedari masalah itu apabila gaji dan komisen lewat dibayar.
“Bila kita tanya mengenai masalah kewangan syarikat, pengurus kata tak ada apa-apa yang jadi. Bos suruh tunggu, sokong mereka.
“Kami ingatkan keadaan akan jadi lebih elok. Tapi apa yang buat kami terkilan ialah tiada notis awal penutupan diberi.
“Ahli pula hubungi kami, tanya pada kami seperti kami tahu apa yang jadi. Tanya seperti kami ini kaunter pertanyaan dan ada yang cakap kami bersubahat,” katanya kepada pemberita di depan Pejabat Tenaga Buruh di Subang Jaya hari ini.
Shahrul berkata jumlah kerugian untuk komisen saja RM16,488.76 bagi lima pekerja di kelab True Fitness Subang Taipan sejak Jun hingga Ogos 2016 dan Februari hingga April 2017.
Manakala, RM22,104.64 pula bagi enam kakitangan di cawangan Jaya 33 pada Ogos 2016 dan Februari hingga April 2017. Di cawangan Giza pula, sebanyak RM27,505.27 bagi tujuh kakitangan pada Ogos 2016 dan Februari hingga April 2017.
Salah seorang ahli kelab kecergasan itu, Anthony Tan berkata dia membayar lebih RM16,000 untuknya dan isteri bagi yuran keahlian sepanjang hayat yang didaftar sejak tahun lepas.
Tan yang menjadi ahli berdaftar sejak Mei 2014 berkata mereka sebelum ini hanya mengambil keahlian tahunan kira-kira RM2,000 setahun seorang.
Katanya, dia mengambil keputusan untuk menyertai keahlian sepanjang hayat hanya kerana yakin pada True Fitness yang beroperasi lebih 10 tahun.
“Saya rasa penutupan serta-merta itu sangat tidak adil.
“True Fitness sepatutnya mengeluarkan notis pemberitahuan awal mengenai penutupan . Saya rasa tertipu dan akan membuat tuntutan untuk bela nasib ahli yang lain,” katanya yang turut hadir di situ.
Semua cawangan True Fitness dan True Spa di Malaysia menamatkan operasinya bermula Sabtu (10 Jun), sehari selepas rangkaian kecergasan itu mengumumkan penutupannya di Thailand.
Dalam satu kenyataan di laman webnya, pusat kesihatan yang beroperasi di Malaysia selama 12 tahun berkata penamatan operasi itu dibuat kerana prestasi perniagaan tidak menguntungkan.
Syarikat itu berkata ia berusaha mencari alternatif bagi ahlinya menerusi keanggotaan dengan satu lagi pusat lain, Chi Fitness supaya mereka dapat meneruskan sesi latihan.
Salah seorang ahli yang juga peguam mewakili kakitangan dan ahli True Fitness, Chan Yu Szen berkata satu mesyuarat akan diadakan pada minggu ini untuk tindakan lanjut terhadap pihak atasan pusat kecergasan itu.
“Apa yang True Fitness lakukan ini bukan saja tidak beretika tetapi salah. Ia dilakukan tanpa notis kepada semua orang. Oleh itu kami akan menuntut kerugian,” katanya.
Katanya, satu tindakan undang-undang berasingan daripada pihak kakitangan dan ahli akan dilakukan.
“Kakitangan akan membuat tuntutan gaji dan ahli pula menuntut wang keahlian,” katanya.
The Malaysian Insight cuba menghubungi Pengarah True Fitness Malaysia Coreen Shanmugam, namun tidak berjaya.
Shahrul berkata Shanmugam tidak hadir ke pejabat sejak sebulan lalu dan dipercayai berada di Singapura. – 13 Jun, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Nik Sharol Azri Zahari · Ulasan