TIADA lagi naib canselor universiti akan dilantik oleh parti politik, seperti amalan kerajaan Barisan Nasional dan Umno sebelum ini, Setiausaha Agung Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah.
Katanya, amalan itu tidak sihat kepada perkembangan akademik dan akan dihentikan serta merta.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata naib canselor yang dilantik oleh majlis universiti boleh mengelak berkembangnya budaya mengampu kerajaan di institusi pengajian tinggi serta memberikan ruang kebebasan kepada setiap universiti tanpa dipengaruhi kuasa politik.
“Dulu kita pernah ada majlis universiti. Saya fikir Dr Maszlee Malik (Menteri Pelajaran) akan fikirkan. Lantikan naib canselor berbaur politik akan ditamatkan serta merta,” katanya pada forum “Bicara Persada: Apa Selepas PRU14” di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
Beliau berkata demikian apabila membincangkan budaya tidak sihat dalam sistem pengajian tinggi apabila pelantikan naib canselor- pegawai tertinggi universiti- seringkali dilakukan dengan campur tangan politik terutama daripada Kementerian Pendidikan.
Jelasnya, pemilihan naib canselor perlu dibuat berdasarkan kelayakan akademik dan bukannya melalui “lantikan politik” apabila individu yang dilantik perlu mempunyai idelogi kerajaan pemerintah.
Saifuddin menambah PH komited dalam mengotakan janjinya untuk menghapuskan akta berkaitan kebebasan suara seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.
Untuk itu, katanya satu akta baharu akan diwujudkan yang menggabungkan beberapa akta sedia ada bagi menggantikan Auku dan mekanisme dijangka akan dibincangkan lanjut oleh Kementerian Pendidikan.
“Soal mahasiswa bersuara adalah sihat. Kita tak perlu ada undang-undang yanng mengongkong mereka.
“Selepas ia dimansuhkan, kita hendak ibu bapa mengambil berat kehadiran mereka (pelajar) dan penglibatan mereka dalam dunia politik juga seimbang dengan pelajaran mereka di universiti,” katanya lagi. sewaktu menjadi panel Siri Wacana Pasca PRU-14 tersebut.
Beliau menjadi panel Siri Wacana Pasca PRU14 di UKM hari ini. Forum itu turut menampilkan Exco Pergerakan Pemuda Umno Shahril Hamdan, Felo Penyelidik Institut Kajian Etnik UKM Dr. Denison Jayasooria dan Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Komunikasi UKM Prof. Dr. Mohd. Fuad Mat Jali.
Dalam pada itu, Saifuddin turt meminta masyarakat memberi masa kepada PH bagi memastikan setiap manifesto dapat dilaksanakan.
“Kita akan menunaikan janji kita cuma pelaksanaannya perlu teratur dan tidak terburu-buru bagi memastikan setiap janji itu dibuat dengan perancangan yang teliti,” katanya lagi. – 22 Mei, 2018.
Komen