Saya kembali untuk sudahkan tugas yang belum selesai, kata Shukri


The Malaysian Insight

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shukri Abdull sudah merancang segala-galanya pada 14 Mei.

Beliau mahu memberitahu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang beliau tidak mahu tugas itu kerana gembira dengan kehidupan selepas bersara.

Bagaimanapun, ketika itu, Dr Mahathir melihat ke arahnya dan berkata: “Adakah anda menerima tawaran saya? Anda mula esok.”

“Saya adalah orang pertama yang menemuinya. Ada (bekas ketua SPRM dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen ) Mustafar Ali,” kata Shukri.

“Saya benar-benar tidak mahu kerja itu. Saya seorang pesara. Saya mempunyai seorang cucu, dan saya sangat sayangkannya. Kami sudah membuat banyak rancangan. Saya akan menolak (tawaran itu). Mustafar juga.”

Bagaimanapun, katanya sukar bagi beliau mengatakan “tidak” selepas Dr Mahathir mengajukan soalan itu.

“Terutama di depan seorang lelaki berusia 92 tahun, tetapi masih mempunyai semangat untuk bekerja. Saya memberitahunya saya akan kembali dengan satu syarat, iaitu, untuk selesaikan tugas yang saya tidak dapat selesaikan sebelum saya bersara.”

Beliau berkata tugas yang dihadapi sangat sukar, dan beliau tidak begitu gembira untuk “kembali”.

“‘Adakah anda gembira untuk kembali bekerja?’ soal wartawan kepada saya. Secara jujur, saya tidak gembira, tetapi saya melakukan ini demi negara.

“Jika anda tahu tentang pengalaman saya, saya hampir mati. Sejujurnya, saya takut untuk kembali,” katanya semasa sidang akhbar di ibu pejabat SPRM hari ini.

Dalam satu kenyataan, beliau memberitahu pemberita mengenai apa yang beliau hadapi semasa siasatan terhadap SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Bhd, pada 2015, termasuk ugutan yang dikeluarkan terhadapnya dan kakitangannya dalam cubaan untuk menghentikan siasatan.

Beliau mendedahkan turut menerima peluru hidup yang dihantar ke rumahnya, dan beliau menyimpan rahsia ini supaya keluarganya tidak bimbang dan pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan.

Mengulas persaraannya sebelum ini., Shukri berkata beliau memilih untuk bersara pada Oktober 2016 kerana tidak mahu berkhidmat di bawah pengganti ketua pesuruhjaya sebelum ini, Dzulkifli Ahmad yang disifatkannya sebagai “pengkhianat”. – 22 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen