KUMPULAN pelajar universiti di Malaysia menyambut baik janji Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Gembira dengan janji tersebut, Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia (Kesatuan) Anis Syafiqah berkata sebarang cadangan atau perbincangan oleh kementerian untuk mewujudkan undang-undang baru bagi mengantikan akta drakonian itu mesti melibatkan perwakilan pelajar.
Beliau menggesa kementerian agar bersifat terbuka dan mesra pelajar dalam era perubahan baru ini.
“Pelajar,” tambahnya, “mesti ada autonomi dalam menentukan dan merangka aktiviti dalam kampus tanpa perlu mengharungi bermacam karenah birokrasi, terutama melibatkan Hal Ehwal Pelajar (HEP).
“Pelajar harus diberi kebebasan untuk merangka atau melaksanakan forum, perbincangan, perdebatan tanpa perlu menghadapi banyak campur tangan daripada HEP.”
Sebelum ini, katanya, HEP diberikan kuasa untuk menentukan bagaimana sesuatu dana dibelanjakan dan untuk aktiviti apa sehingga tahap menentukan topik forum dan perbincangan apa yang akan dijalankan, malah menentukan speaker.
Tambah beliau, “Pelajar tidak dibenarkan untuk berbincang mengenai isu semasa dan dasar negara kerana pentadbiran universiti merasakan yang ia boleh menganggu kerajaan yang memerintah.”
“Kesannya, kami terpaksa menjalankan aktiviti yang sebahagian bersarnya berunsurkan hiburan.”
Lebih buruk lagi, tambahnya, sesetengah pensyarah merasa tawar hati untuk membincangkan isu semasa yang boleh memberi manfaat kepada rakan sekerja dan pelajarnya ekoran suasana politik yang tidak menggalakkan.
Anis juga merasakan perlu ada perwakilan pelajar dalam senat universiti supaya cadangan pelajar dapat dimasukkan dalam perbincangan berhubung dasar bagi memastikan perspektif pelajar sentiasa diambil peduli.
Pilihan raya kampus, katanya, harus bebas dan adil tanpa sebarang campur tangan politik supaya pelajar yang dipilih mempunyai mandat penuh.
“Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tidak sepenuhnya mewakili hasrat komuniti pelajar,” katanya.
Beliau turut membangkitkan mengenai pemotongan bajet yang dibuat pentadbiran Najib Razak beberapa tahun lepas yang memberi kesan kepada pembangunan intelektual dalam kampus sehingga ada yang sukar mendapatkan biasiswa, aktiviti pelajar ditangguhkan, dan pensyarah tidak mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Pelajar Ainina Sofia Adnan, yang merupakan pengelola portal Nadi Mahasiswa Malaysia, turut menanti-nantikan pemansuhan AUKU, dan pada masa sama menuntut agar akta atau dasar serupa yang mengekang kebebasan pelajar dihapuskan.
Beliau turut bersependapat dengan Anis yang pelajar harus ada perwakilan dalam senat universiti bagi membolehkan pelajar terlibat dalam proses membuat keputusan di peringkat universiti.
Melalui pengalamannya menuntut di Universiti Malaya, Anina mempunyai senarai masalah yang dihadapi pelajar yang diharap dapat diselesaikannya, antaranya pengecualian yuran bagi pelajar tahun pertama yang datang daripada keluarga B40.
Beliau turut menggesa agar diskaun pengajian diberikan kepada pelajar yang datang daripada keluarga miskin dan golongan B40.
Selain menggesa pengecualian bayaran pendaftaran untuk pendidikan ijazah pertama di Universiti awam, Anina turut mencadangkan supaya yuran latihan industri dihapuskan.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan untuk memberi cuti festival kepada pelajar kaum etnik minoriti.
Bagaimanapun, katanya, jika Pakatan Harapan melaksanakan pelan dasar pendidikan universiti percuma selama lima tahun, maka cadangannya itu tidak lagi diperlukan.
Daniel Mizan Qayyum, pengasas kumpulan pelajar Demokrat Universiti Malaya, turut mengalu-alukan pemansuhan AUKU kerana merasakan undang-undang itu mencabul kebebasan akademik dalam kampus. – 22 Mei, 2018.
Komen